Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taiwan rancang bunuh hingga 120,000 ekor iguana hijau

    PINGTUNG, TAIWAN, 23 JAN – Taiwan merancang untuk membunuh sehingga 120,000 iguana hijau, dengan penyokong menggesa agar kaedah yang lebih berperikemanusiaan digunakan untuk mengurangkan populasi haiwan itu yang memberikan kesan buruk kepada sektor pertanian di pulau tersebut.

    Sekitar 200,000 ekor reptilia itu dipercayai berada di kawasan selatan dan tengah pulau, yang sangat bergantung kepada pertanian, menurut Chiu Kuo-hao dari Agensi Perhutanan dan Pemeliharaan Alam.

    Pasukan pemburu yang direkrut secara khas telah membunuh sekitar 70,000 iguana tahun lalu, dengan ganjaran sehingga AS$15 setiap satu. Kerajaan tempatan telah meminta orang ramai untuk membantu mengenal pasti sarang iguana dan mereka mengesyorkan untuk menggunakan lembing memancing sebagai cara yang paling berperikemanusiaan untuk membunuh haiwan tersebut.

    “Ramai membelinya sebagai haiwan peliharaan, tanpa menyedari betapa besar dan lamanya iguana dapat hidup, jadi mereka melepaskannya ke alam liar, di mana iguana dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran Taiwan,” kata Lee Chi-ya dari jabatan pertanian di daerah Pingtung selatan.

    “Ini membolehkan iguana membiak de-ngan kadar yang tinggi, memaksa kami untuk membunuhnya dan memulihkan keseimba-ngan alam,” tambahnya.

    Iguana hijau tidak mempunyai pemangsa semula jadi di Taiwan dan telah berpindah ke kawasan yang sukar diakses, terutamanya hutan dan pinggir bandar.

    Iguana jantan boleh membesar hingga dua kaki panjang, berat lima kilogram dan hidup hingga 20 tahun, manakala betina boleh bertelur hingga 80 biji dalam satu masa. – AP

    Gambar fail menunjukkan tiga daripada lapan iguana hijau yang baru menetas duduk di dalam terarium di Zoo Berlin di Berlin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda