Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Tentera, polis serbu kem, usir pembantah

    COLOMBO, 22 JULAI – Pasukan keselamatan Sri Lanka menyerbu kem pembantah antikerajaan di ibu kota, mengusir aktivis dalam serangan ganas yang menimbulkan kebimbangan antarabangsa.

    Komando pasukan khas tentera dan polis yang dilengkapi dengan belantan dan raifal mengusir para pembantah yang menghalang bangunan Sekretariat Presiden.

    Beratus-ratus anggota tentera mengalihkan penghalang yang didirikan oleh pembantah di luar bangunan tersebut, sementara saki baki pembantah telah diusir.

    Operasi itu diadakan beberapa jam sebelum presiden baharu negara itu, Ranil Wickremeshinghe, bersumpah dengan perdana menteri baharu bagi menguruskan krisis kewangan yang telah menjejaskan ekonomi dan menyebabkan bantahan selama berbulan-bulan.

    Wickremesinghe telah dilantik oleh penggubal undang-undang pada Rabu sebagai pengganti Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri ke Singapura dan meletak jawatan selepas serbuan ke atas istananya oleh pembantah.

    Para pembantah bersemuka dengan anggota polis yang menghalang laluan semasa bantahan menentang pelantikan Wickremesinghe sebagai presiden.- Anggota polis dan tentera menyerbu kem pembantah dan mengusir aktivis dalam serangan ganas yang menimbulkan kebimbangan antarabangsa. – AFP

    Saki baki pembantah – yang jauh lebih sedikit berbanding ribuan yang menyerbu beberapa bangunan kerajaan pada awal bulan ini – turut mendesak Wickremesinghe agar berundur, dan mendakwa dia melindungi keluarga Rajapaksa yang mendominasi kuasa politik selama lebih dua dekad.

    Pada awal pagi, komando polis dan tentera yang lengkap bersenjata mengepung kompleks dan jalan-jalan utama yang menuju ke kawasan kem pembantah.

    Ratusan aktivis mengadakan bantahan berhampiran kawasan protes yang dikhaskan bagi menentang tindakan pihak berkuasa, menuntut Wickremesinghe untuk meletak jawatan dan membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya baharu.

    “Jangan serang pembantah aman, sebaliknya dengar permintaan kami,” kata seorang pelajar, Dimmithu, yang berusia 26 tahun.

    Para aktivis berkeras mereka akan terus dengan perjuangan mereka, dan Basantha Samarasinghe, 45, seorang usahawan dan ketua kesatuan pedagang, berkata, “Permintaan rakyat adalah untuk mengubah sistem kerajaan, dan parlimen perlu dibubarkan. Ia tidak mempunyai mandat awam.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...