Saturday, May 4, 2024
24 C
Brunei

    -

    UBD, BEST selamatkan periuk kera terancam

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Tumbuhan periuk kera yang dikelaskan dan dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) telah ditemui di sekitar tapak lokasi projek di Pulau Muara Besar (PMB).

    Sehubungan itu, Brunei Energy Services & Trading Sdn Bhd (BEST) yang kini dalam fasa pembangunan untuk meneroka peluang perniagaan di kawasan PMB telah bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Botani Universiti Brunei Darussalam (UBD BRC), yang merupakan pusat di bawah Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER) UBD, untuk memindahkan tumbuhan berkenaan dari tapak projek ke Taman UBD BRC.

    Kerja-kerja pemindahan tumbuhan berkenaan telah bermula kelmarin hingga hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, UBD BRC merupakan taman botani pertama di Brunei dan berfungsi sebagai pusat penyelidikan yang memfokuskan kepada pemuliharaan dan kajian saintifik flora tropika, khususnya tumbuhan asli Brunei.

    Kerjasama dengan BEST itu diselia dengan teliti oleh pakar UBD BRC dan disokong oleh BEST dan mengikuti protokol saintifik untuk memastikan tumbuhan berkenaan dipindahkan dengan selamat ke Taman BRC UBD, yang terletak di Kampus UBD.

    Taman BRC UBD terletak dalam kawasan jenis hutan yang unik dan jarang ditemui, digelar hutan Kerangas, habitat semula jadi dengan tanah yang kurang nutrien, yang merupakan keadaan sesuai untuk tumbuhan periuk kera terus subur.

    Penempatan semula populasi semula jadi yang menghadapi ancaman pembangunan ke kawasan pemuliharaan ex-situ adalah penting untuk melindungi spesies yang dilindungi ini.

    Dalam usaha pemuliharaan sebelum ini, BRC UBD telah bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan telah berjaya memindahkan periuk kera dari kawasan pasir putih Tutong ke Hutan Simpan Berakas.

    Usaha kerjasama antara UBD dan BEST menggariskan komitmen setiap organisasi terhadap pemuliharaan biodiversiti dan usaha UBD dalam memastikan pengurusan dan perlindungan biodiversiti Brunei yang teliti, yang selaras dengan matlamat pembangunan mampan Negara Brunei Darussalam.

    Sukarelawan UBD yang terlibat dalam projek tersebut bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN UBD
    Para pelajar UBD semasa melakukan pemindahan tumbuhan berkenaan dari tapak projek ke Taman UBD BRC. – GAMBAR SERAHAN UBD

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...