Tuesday, September 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK bebaskan ribuan banduan, atasi kesesakan penjara

    LONDON, 10 SEPT – Ribuan banduan di penjara British dijangka akan dibebaskan lebih awal, hari ini, sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengurangkan kesesakan.

    Angka terkini menunjukkan bahawa populasi penjara di England dan Wales berada pada tahap tertinggi yang pernah dicatatkan.

    Namun, dengan kebimbangan mengenai kemungkinan banduan yang dibebaskan melakukan kesalahan semula, kerajaan menegaskan bahawa tiada pesalah keganasan atau pendera domestik layak untuk dibebaskan awal.

    Menteri Perniagaan, Jonathan Reynolds memberitahu Sky News bahawa ia adalah keputusan yang sukar untuk membebaskan 1,700 banduan.

    Downing Street mengatakan bahawa dasar berkenaan diperlukan untuk mengelakkan ‘jenayah tidak terkawal’, di mana pesalah yang baru disabitkan telah dikecualikan daripada hukuman penjara kerana kekurangan tempat.

    Reynolds menyalahkan kerajaan Konservatif sebelum ini, yang telah disingkir dalam pengundian pada bulan Julai, dengan mengatakan keputusan itu ‘sepatutnya dibuat sebelum pilihan raya’ tetapi ‘telah berputus asa untuk meneruskan pemerintahan.’

    “Antara semua skandal yang kami warisi, saya rasa sistem penjara, sistem keadilan, mungkin adalah yang paling teruk,” tambahnya. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda