Tuesday, May 21, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    UNSC terima resolusi gencatan senjata Gaza untuk Ramadan

    WASHINGTON, 25 MAC – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) pada kelmarin menerima satu resolusi meminta satu gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza untuk bulan Ramadan dilaksanakan.  

    Sebanyak 14 negara mengundi menyokong resolusi itu, yang dibentangkan oleh 10 ahli majlis berkenaan yang dipilih sementara Amerika Syarikat berkecuali daripada mengundi, lapor Agensi Anadolu (AA).

    Resolusi itu menggesa supaya gencatan senjata segera dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan, dihormati oleh semua pihak sambil menyasarkan satu gencatan senjata yang dapat bertahan lama.

    Ia juga meminta supaya pembebasan segera tanpa syarat semua tawanan, dan memastikan akses untuk mereka mendapatkan keperluan kemanusiaan dan perubatan.

    Resolusi itu mensyaratkan pihak berkenaan supaya mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa terhadap individu yang mereka tawan.

    Ia  juga menekankan keperluan segera kedua-dua aspek iaitu meluaskan aliran masuk bantuan kemanusiaan di seluruh Semenanjung Gaza dan memperkukuhkan perlindungan kepada orang awam.

    Resolusi itu turut mengulangi permintaan supaya segala halangan kepada penyediaan bantuan kemanusiaan di seluruh Semenanjung Gaza pada skala besar dimansuhkan dengan segera, menurut undang-undang kemanusiaan antarabangsa  dan resolusi Majlis Keselamatan. – Bernama

    Duta Besar dan Wakil Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Linda Thomas-Greenfield mengundi untuk berkecuali ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan resolusi gencatan senjata di Gaza semasa bulan suci Ramadan, tuntutan pertamanya untuk menghentikan pertempuran di ibu pejabat PBB, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...