VILLENA – Selama beberapa dekad, Achille, 50, menjalani kehidupan yang sukar sendirian dalam keadaan menyedihkan di dalam sangkar sarkas yang sempit.
Namun, hari-hari yang lebih baik mungkin menanti untuk cimpanzi itu dan hampir 150 kera besar di Sepanyol, yang bakal mendapat manfaat daripada rang undang-undang baharu yang memperkukuh undang-undang bagi melindungi kesejahteraan haiwan berkenaan.
Aktivis hak haiwan berharap rang undang-undang ini akan memacu perbincangan mengenai status undang-undang kera — di Sepanyol dan seterusnya.
“Kera adalah seperti kita, ia adalah haiwan sosial,” kata Olga Bellon, seorang pakar primat di yayasan Primadomus yang menjaga Achille.
Memberikan layanan seperti yang dialami Achille adalah ‘tidak berperikemanusiaan’, katanya kepada AFP.
Inisiatif ini boleh mengubah persepsi kita terhadap mamalia yang secara genetik sangat dekat dengan manusia dan membantu menghargai keperluannya dengan lebih baik, tambah Bellon.
Kerajaan berhaluan kiri Sepanyol mengambil langkah pertama ke arah undang-undang kesejahteraan haiwan tahun lalu dengan menaikkan hukuman penjara bagi kesalahan penganiayaan.
Kini, mereka melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan rang undang-undang pada bulan Julai yang bertujuan untuk menghapuskan amalan yang merosakkan ‘kehidupan, integriti fizikal, maruah dan kelangsungan hidup kera besar’. Menurut persatuan-persatuan, hampir 150 primat termasuk gorila, orang utan dan cimpanzi boleh mendapat manfaat daripada undang-undang ini.
Pusat perlindungan Primadomus, yang terletak berhampiran bandar Mediterranean Alicante di timur Sepanyol dan diasaskan pada tahun 2009 oleh persatuan Belanda, Animal Advocacy and Protection (AAP), menempatkan kira-kira 60 primat.
Seperti Achille, kera-kera besar ini diselamatkan daripada individu atau sarkas dan kadangkala tiba dalam keadaan trauma atau dengan masalah tingkah laku.
Kera besar mengalami tekanan dan kemurungan serta boleh mencederakan diri sendiri, sama seperti manusia, jelas Bellon. “Di sini, kami ingin mamalia itu pulih dan merasa tenang.”
Di belakang Bellon, empat ekor cimpanzi bermain-main di antara pokok dan semak sambil mencari kacang kuda yang bertaburan di tanah.
Banyak kesabaran, kadangkala mengambil masa bertahun-tahun diperlukan sebelum haiwan itu dapat memulihkan naluri semula jadi mereka, kata Bellon.
Kajian sains menunjukkan bahawa haiwan-haiwan ini lebih mirip kepada manusia berbanding yang disangka dan ini membolehkan ia mendapat ‘rawatan khusus’, kata Jose Ramon Becerra, seorang pegawai kanan yang menyelaraskan inisiatif baharu ini.
Rang undang-undang ini mungkin mengubah perbincangan mengenai status undang-undang kera besar, malah di luar Sepanyol, kata Becerra kepada AFP.
Beberapa inisiatif telah dilancarkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Di Argentina, seekor orang utan betina dan seekor cimpanzi diiktiraf sebagai manusia non-human dan pihak berkuasa menuntut agar ia dipindahkan dari kurungan yang sempit.
Namun, belum ada negara yang memberikan status ini kepada semua kera besar, kata Pedro Pozas, pengarah eksekutif Projek Kera Besar di Sepanyol, sebuah gerakan antarabangsa yang memperjuangkan hak asasi spesies ini.
Pada tahun 2008, parlimen Sepanyol mengundi resolusi untuk mengkaji isu ini. Namun, dengan negara yang sedang berhadapan krisis kewangan yang teruk, ahli parlimen tidak menyetujuinya, dan ada yang merasa tidak selesa dengan idea untuk menyamakan status primat dengan manusia.
Becerra yakin kali ini akan berbeza kerana masyarakat kini ‘lebih matang’ dan kepekaan sosial telah berubah.
Sebagai tanda harapan yang tinggi, kementerian hak sosial yang Becerra wakili telah mengumpul lebih 300 sumbangan daripada pakar dan persatuan selepas rundingan, langkah pertama dalam proses perundangan ini.
Antara cadangan tersebut adalah untuk menjamin keadaan hidup yang lebih baik dalam kandang, melarang penggunaan primat dalam filem dan persembahan, serta melarang pemisahan ibu daripada anak-anaknya.
Institusi seperti Jane Goodall dan Projek Kera Besar ingin melangkah lebih jauh dengan mengharamkan pembiakan mereka dalam kurungan, dengan matlamat jangka panjang untuk mengeluarkan semua primat besar dari zoo, kata Rozas.
Bagi Marta Merchan, ketua dasar awam di AAP Sepanyol, kera besar mesti hidup di habitat semula jadi bersama spesiesnya yang lain.
Walaupun matlamat untuk membawa ia keluar dari zoo masih jauh, “yang penting adalah perbincangan ini terus maju,” katanya.
Rang undang-undang baharu ini adalah langkah pertama yang akan membantu meningkatkan kesedaran, memberi manfaat kepada kera besar dan berpotensi kepada semua haiwan, tambah Merchan. – AFP