Sunday, May 5, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    Wanita disyaki berkomplot bunuh suami

    KLANG, 19 SEPT – Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan suami wanita itu di sebuah rumah di Taman Aneka Baru, Sungai Udang di sini empat hari lepas.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata wanita berumur 37 tahun itu ditahan sekitar pukul 10 malam Khamis, tidak sampai 24 jam selepas polis menerima laporan berhubung satu insiden, kononnya suami wanita itu terbunuh dalam kejadian rompakan pukul 2:14 pagi pada hari berkenaan.

    Beliau berkata suspek dipercayai membuat perancangan untuk membunuh suaminya sendiri kerana dendam, dengan berkomplot bersama empat lelaki berumur 20 hingga 36 tahun, yang ditahan polis antara Jumaat lepas dan semalam sekitar sini dan Senawang, Negeri Sembilan.

    Katanya dalam kejadian Khamis lepas, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung satu pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki yang menyebabkan seorang daripadanya terbaring berlumuran darah di kawasan rumah berkenaan.

    “Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kemudiannya mengesahkan seorang lelaki berusia 41 tahun telah meninggal dunia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari ini.

    Arjunaidi berkata suspek utama ketika itu memaklumkan, dua lelaki berpakaian serba hitam dan memakai topeng malah bersenjatakan pisau telah masuk melalui pintu hadapan rumah lalu menikam suaminya sehingga menyebabkan kematian.  

    “Dakwa wanita itu juga, perompak telah menggeledah bilik dan rumah sebelum mengambil pelbagai beg tangan berjenama, barang kemas serta wang tunai sekitar RM40,000 dan melarikan diri menggunakan kereta BMW. Dianggarkan jumlah kerugian dialami kira-kira RM100,000,” katanya dan menambah lebih 14 tikaman dikesan pada tubuh si mati.

    Katanya pada hari yang sama, polis menahan isteri mangsa pada sebelah malamnya, dan wanita itu turut memberikan maklumat berkaitan individu lain yang merupakan kenalannya, disyaki berkomplot dengannya dalam kejadian itu. – Bernama

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (tengah) menunjukkan barang kes yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...