Tuesday, September 17, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 pelajar cemerlang terima biasiswa

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BELAIT, 9 SEPT – Kumpulan Syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV) baru-baru ini, telah menganugerahkan biasiswa kepada 10 orang pelajar cemerlang bagi melanjutkan pendidikan mereka ke peringkat pengajian tinggi di institusi-institusi tempatan dan juga United Kingdom dalam bidang Kejuruteraan (Kimia dan Elektrik) dan Sains Data.

    Sehubungan itu, satu acara Majlis Penandatanganan Kontrak Skim Biasiswa BSJV telah diadakan yang berlangsung di Ballroom V-Plaza, Kuala Belait pada 4 September lalu.

    Dalam ucapan perasmian pada majlis berkenaan, Ketua Bakat, Pembruneian dan Maklumat Pengurusan, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sdn Bhd, Awang Mizan Adiliah bin Haji Mohamad Deli antaranya menekankan kepentingan mengiktiraf dunia yang pesat berubah, dan keperluan mendesak untuk membina asas pengetahuan dan pengalaman yang kukuh dalam pemimpin masa depan kita untuk memastikan mereka dapat menyumbang secara signifikan kepada masa depan Brunei yang cerah.

    “Kepada para penerima, biasiswa ini lebih daripada sekadar pengakuan terhadap pencapaian awda yang lalu.

    Ia adalah bukti potensi besar yang kami lihat dalam diri awda. Kami percaya dengan bakat dan dorongan awda akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan Brunei tercinta dan dalam merea-lisasikan wawasan negara 2035,” tambahnya.

    Dalam pada itu, salah seorang penerima biasiswa berkenaan, Shannon Lau Wei Xuan, yang akan mengikuti pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di University of Manchester melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada BSJV kerana menganugerahkan dirinya biasiswa yang sangat berprestij.

    “Ia adalah peluang yang saya tidak akan ambil mudah, dan saya akan memanfaatkannya sebaik mungkin. Selepas menamatkan kursus, saya berharap dapat kembali ke Brunei, dan diharapkan dapat membawa kembali pengajaran dan inovasi yang saya pelajari di luar negara, untuk sama-sama menyumbang ke arah Wawasan Brunei 2035,” ujarnya.

    Seorang lagi penerima biasiswa, Awang Mohammad Haziq bin Mohammad Shahrin, yang akan mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Brunei, berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya pengajian yang akan diambilnya nanti.

    “Saya teruja bukan sahaja bagi mempelajari kajian teras saya, tetapi untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti dalam dan luar bilik kelas dan melatih diri saya untuk terus bersiap sedia demi masa depan,” tambahnya.

    Majlis Penandatanganan Kontrak Skim Biasiswa BSJV yang berlangsung pada 4 September. – GAMBAR SERAHAN BSP
    Penerima biasiswa bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BSP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda