Saturday, May 4, 2024
25.1 C
Brunei

    -

    261 lafaz ikrar jadi pelajar UBD

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Seramai 261 orang pelajar memulakan pengajian di Universiti Brunei Darussalam (UBD) bagi Pengambilan Januari Tahun Akademik 2022/2023 dengan melafazkan ikrar pada Minggu Pelajar Baharu (Freshers’ Week) yang berlangsung di Dewan Canselor UBD, hari ini.

    Pelajar-pelajar baharu berkenaan terdiri daripada 20 orang pelajar ijazah kedoktoran, 99 orang pelajar sarjana, 128 orang pelajar sarjana muda serta 14 orang pelajar program Unibridge.

    Daripada jumlah pelajar baharu berkenaan, 91 orang pelajar iaitu 35 peratus adalah pelajar lelaki dan 170 orang iaitu 65 peratus adalah pelajar perempuan.

    Hadir untuk mengalu-alukan serta menyampaikan ucapan khas ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Dalam ucapan khasnya pada majlis itu, Dr Hazri menyatakan bahawa dengan melafazkan ikrar, para pelajar secara rasminya menjadi pelajar UBD dan ikrar yang dilafazkan oleh mereka itu mempunyai makna serta pengertian signifikan di mana bukan sahaja sekadar berusaha untuk mencapai kecemerlangan ilmu tetapi juga permulaan baharu dalam kehidupan.

    Upacara melafazkan ikrar diketuai oleh ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar, PMUBD pada majlis berkenaan.
    Pelajar-pelajar baharu UBD dan pegawai UBD menghadiri Minggu Pelajar Baharu Pengambilan Januari Tahun Akademik 2022/2023 yang berlangsung di Dewan Canselor UBD, kelmarin.

    “Saya bagi pihak UBD berharap semua pelajar dapat menanam dan memupuk sifat-sifat serta nilai-nilai kepimpinan, berdikari, keusahawanan dan inovasi yang akan membantu semua pelajar menjadi insan yang berkemahiran tinggi dan bersedia untuk masa hadapan,” ujarnya.

    Dr Hazri turut menyatakan bahawa kemasukan ke universiti adalah semakin kompetitif, oleh itu, para pelajar diseru untuk memanfaatkan peluang keemasan itu dengan sebaik-baiknya demi mencapai kejayaan dan masa depan yang cemerlang.

    Terdahulu Dekan Pelajar, Awang Saidai bin Haji Hitam dalam kata alu-aluannya menerangkan bahawa Minggu Pelajar Baharu itu merupakan program atau acara tradisi UBD yang diadakan setiap awal semester bagi menyambut, memperkenalkan dan mempersiapkan pelajar baharu terhadap cabaran yang akan dihadapi sepanjang pengajian pelajar itu nanti.

    Minggu Pelajar Baharu UBD itu diadakan selama empat hari bermula hari ini hingga 6 Januari di mana ia dihasratkan untuk membantu memudahkan peralihan pelajar-pelajar dan membiasakan diri mereka dengan kehidupan di universiti supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan, pelajaran dan suasana di UBD.

    Ia turut memberikan peluang kepada pelajar-pelajar baharu untuk mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan untuk menyesuaikan diri mereka dengan kehidupan baharu mereka bergelar mahasiswa dan mahasiswi UBD.

    Semasa program itu, para pelajar berkenaan akan mengikuti siri taklimat yang mencakupi hal ehwal berkaitan dengan akademik dan bukan akademik termasuk penerangan mengenai program GenNEXT, program Tahun Penemuan, peraturan peperiksaan, keselamatan kampus serta taklimat dan ceramah dari pelbagai unit, jabatan dan agensi dari dalam dan luar universiti.

    Selain itu, mereka juga berpeluang menyaksikan Pameran PMUBD yang dikendalikan oleh Persatuan Mahasiswa/i UBD (PMUBD) di mana ia mengetengahkan aktiviti-aktiviti badan dan kelab di bawah naungan PMUBD serta memberikan peluang kepada pelajar baharu memilih kelab yang akan diikuti sepanjang mengikuti pengajian di universiti itu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...