BARCELONA, 19 JAN – Kira-kira 30 orang cedera dalam kemalangan lif ski di kawasan peranginan Astun di Sepanyol, yang terletak di banjaran gunung Pyrenees, menurut perkhidmatan kecemasan untuk wilayah utara Aragon, Sepanyol kelmarin.
Perkhidmatan kecemasan wilayah tersebut berkata 10 orang perlukan rawatan di hospital, termasuk dua yang mengalami kecederaan serius. Saluran televisyen negara TVE melaporkan kira-kira 80 orang terperangkap di kerusi lif segera selepas kejadian itu.
“Ia seolah-olah kabel itu terputus, kerusi-kerusi melantun dan orang-orang terpelanting keluar,” kata seorang saksi kepada TVE.
Fernando Beltran, wakil kerajaan Sepanyol di Aragon, kemudian menyiarkan di X bahawa ‘semua peluncur ski yang terlibat dalam kemalangan’ telah dipindah dan mereka yang cedera sedang menerima rawatan perubatan.
Punca kejadian masih belum diketahui. Beberapa helikopter telah dikerahkan ke kawasan tersebut untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap dan memindahkan yang cedera ke hospital-hospital terdekat.
Gambar dan video di media sosial menunjukkan beberapa orang terbaring di atas salji di bawah lif ski. – AP