Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    33 belia Program Literasi Tutong diraikan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Seramai 33 orang belia Mukim Telisai, Daerah Tutong yang menyertai Program Literasi Penerangan Belia Daerah Tutong telah diraikan pada majlis penutup dan penyampaian sijil yang berlangsung di Pusat Bahagia Pulaie, Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Auditorium Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian sijil tersebut ialah Pegawai Penerangan Kanan, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.

    Program tersebut merangkumi pelbagai taklimat termasuk Mengukuh-Mantapkan Akidah Golongan Belia dari Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang antara lain menyentuh mengenai Islam dalam konteks Negara Brunei Darussalam dari segi kepercayaan dan pengamalan berasaskan Akidah Ahli Sunnah Waljama’ah.

    Para peserta juga berkesempatan mengadakan lawatan ke Pusat Bahagia Pulaie di mana mereka berpeluang mempelajari bahasa isyarat dan aktiviti mobiliti.

    Taklimat terakhir ialah mengenai dengan Berita Palsu, Jenayah Siber & Scammer yang dikendalikan oleh Jabatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Perdana Menteri.

    Program Literasi Penerangan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan menggunakan pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government yang antara lain dihasratkan untuk melahirkan para belia berwawasan, mempunyai jati diri yang kukuh serta memiliki nilai luhur cintakan agama, bangsa dan negara yang tinggi serta memupuk rasa tanggungjawab ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Haji Fathi Foad semasa menyerahkan sijil kepada salah seorang penerima. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda