Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    35 peserta Seminar AFC MC terima sijil

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Seramai 35 peserta Seminar Pesuruhjaya Pertandingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC MC) hari ini telah menerima sijil penyertaan pada majlis penutup yang berlangsung di Rumah Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD).
     
    Pada majlis itu, Timbalan Presiden FABD, Haji Mahrub bin Haji Murni melahirkan rasa bangga atas komitmen semua peserta yang berusaha untuk mendalami ilmu bagi meningkatkan pengetahuan penyelenggaraan pertandingan yang betul dan mengikut undang-undang.
     
    “Saya yakin seminar sepanjang tiga hari ini akan memberikan pengalaman yang luas kepada para peserta dan meningkatkan kefahaman yang lebih mendalam di samping menimba ilmu-ilmu pengurusan pertandingan dengan lebih teratur dan kemas melalui bimbingan serta tunjuk ajar MC yang berpengalaman,” jelasnya.
     
    Selain itu, beliau turut berharap para peserta akan mempraktikkan ilmu yang diperoleh sepanjang seminar itu berlangsung untuk diadaptasikan semasa para peserta menjadi MC pada pertandingan-pertandingan bola sepak akan  datang.
     
    Para peserta telah dibimbing oleh Presiden Pertubuhan Bola Sepak Sarawak, Abang Zulkarnain bin Abang Abdurahman, yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran bola sepak termasuk menjadi Ketua Hal Ehwal Antarabangsa dan Pengurusan Pasukan Kebangsaan Malaysia pada 2013, seterusnya menjadi Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia sejak 2014 hingga 2022.
     
    Dalam bidang MC, beliau memiliki lesen AFC MC pada 2013 dan 2014 serta FIFA MC pada 2015.
     
    Seminar itu meliputi aspek-aspek bagi meningkatkan pengetahuan mengenai undang-undang permainan dan peraturan bola sepak di samping ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh MC. 
     
    Peserta turut didedahkan mengenai peranan dan tanggungjawab  serta peraturan-peraturan yang perlu diketahui oleh MC, selain berpeluang menyertai sesi praktikal tentang sukatan padang yang betul serta tempat duduk para pemain simpanan  dan pegawai-pegawai yang bertugas. 
     
    Seminar berkenaan merupakan anjuran FABD yang memberikan peluang kepada para peserta untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang MC.
     
    ATAS & BAWAH : Para peserta bergambar ramai semasa majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN FABD
    GAMBAR SERAHAN FABD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda