Tuesday, February 4, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    41 pelajar UNISSA jalani program kurangkan guna media sosial

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Seramai 41 pelajar telah menyertai program Digital Detox Day ”Reset & Refresh”: Skrin di Sisi, Hidup Beraksi yang diadakan di kampus Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Gadong baru-baru ini.

    Program berkenaan dikendalikan oleh Unit Kemasyarakatan dan Sukarelawan, Kumpulan Al-Qudwah Sesi 2024/2025. Program ini juga turut disokong dan diadakan bersempena dengan Hari Tindakan.

    Antara aktiviti yang dilaksanakan dalam program ini termasuk aktiviti brisk walking dan sukan ria yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada kesihatan fizikal peserta.

    Selain itu, sesi perkongsian tentang Digital Detox Day disampaikan oleh Dr Hajah Ummi Faizah Binti Haji Abdul Rahman yang membincangkan tentang kepentingan mengadakan Digital Detox Day, cara mengendalikan media sosial dan alat digital dalam Islam serta perkara-perkara bermanfaat yang boleh dilakukan selain menghabiskan masa di media sosial.

    Di samping itu, sesi ‘Masak-Masak Santai’ turut diadakan memberi peluang kepada para peserta memasak bubur kacang untuk diagihkan kepada jemaah Surau Balai Polis Gadong sebagai sebahagian daripada amal jariah.

    Seterusnya, sesi gotong-royong membersihkan kelas-kelas di UNISSA diadakan. Sebanyak 32 set sumbangan wakaf yang mengandungi penyapu dan penyiut, telah disampaikan kepada 21 buah kelas dan tempat-tempat lain di UNISSA Gadong serta Sinaut. Sumbangan tersebut adalah hasil derma daripada warga UNISSA dan orang ramai.

    Program berkenaan dianjurkan dengan tujuan memberi ruang kepada peserta agar dapat berehat seketika daripada penggunaan telefon bimbit dan peranti elektronik, serta menggalakkan interaksi sosial, aktiviti fizikal, dan kesedaran diri tanpa gangguan digital. Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal peserta, selain menggalakkan mereka untuk mengimbangi penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.

    Gambar ramai para peserta semasa program berkenaan. –GAMBAR SERAHAN UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda