Wednesday, September 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alcaraz bantu Sepanyol cipta kemenangan

    PARIS, 12 SEPT – Carlos Alcaraz kembali beraksi selepas kekalahan mengejut di Terbuka AS untuk membantu Sepanyol meraih kemenangan dalam Davis Cup, kelmarin.

    Juara Terbuka Perancis dan Wimbledon berusia 21 tahun itu tewas di pusingan kedua Grand Slam Flushing Meadows bulan lalu. Dengan masa lapang yang ada, dia membuat kunjungan tidak dirancang ke Grand Prix Formula Satu Itali di Monza sebelum kembali ke gelanggang di Valencia, ketika Sepanyol membuka kempen peringkat kumpulan menentang Republik Czech.

    Roberto Bautista Agut mengutip mata pertama Sepanyol selepas menewaskan Jiri Lehecka 7-6 (7/1), 6-4. Alcaraz kemudian menyertai kejohanan, bangkit daripada kekalahan set pertama 6-7 (3/7) kepada Tomas Machac, sebelum menguasai set kedua 6-1, sebelum Machac menarik diri.

    Alcaraz kemudiannya bergandingan dengan Marcel Granollers dalam acara beregu, mencatat kemenangan 6-7 (2/7), 6-3, 7-6 (7/2) ke atas Jakub Mensik dan Adam Pavlasek, memberikan Sepanyol kemenangan 3-0 dalam Kumpulan B.

    Sementara itu, di China, Amerika Syarikat (AS) memulakan misi memburu gelaran Davis Cup ke-33 dengan menewaskan Chile 3-0 dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan di Zhuhai.

    Walaupun berdepan kedudukan ranking yang lebih rendah, pasukan bimbingan Bob Bryan berjaya menewaskan Chile. Kali terakhir AS merangkul trofi berprestij itu adalah pada tahun 2007.

    Manakala di pusat tenis antarabangsa Hengqin, Reilly Opelka, pemain nombor 309 dunia, bersama Brandon Nakashima (nombor 40 dunia) dan pasangan beregu Austin Krajicek dan Rajeev Ram, berjaya mengatasi pasukan bimbingan Nicolas Massu.

    Opelka memberikan mata pertama untuk Amerika selepas mengalahkan Cristian Garin 6-3, 4-6, 7-6 (7/3). Nakashima pula menikmati penampilan pertama dalam Davis Cup, menewaskan Alejandro Tabilo, pemain nombor 22 dunia, 7-6 (7/5), 2-6, 7-6 (7/3). – AFP

    Carlos Alcaraz meraikan kemenangan dalam perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki tenis antara Sepanyol dan Kanada pada Sukan Olimpik Paris 2024 pada 2 Ogos lalu. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda