Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apple kemas kini perisian, baiki ciri AI

    SAN FRANCISCO, 17 JAN – Apple kelmarin telah melancarkan kemas kini perisian untuk menyekat tajuk berita dan ringkasan yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) selepas menerima kritikan berhubung kesilapan fakta.

    Langkah tersebut diambil susulan syarikat gergasi teknologi itu mempertingkatkan barisan peranti terbaharunya dengan keupayaan Apple Intelligence untuk memberikan keyakinan kepada pasaran bahawa pembuat iPhone tersebut mampu bersaing dalam perlumbaan teknologi AI.

    Keputusan Apple untuk menghentikan sementara ciri AI yang baru dilancarkan itu dibuat selepas BBC dan beberapa organisasi berita lain mengadu pengguna menerima tajuk berita atau ringkasan berita yang penuh dengan kesalahan atau tidak tepat.

    Apple telah melancarkan kemas kini perisian itu kepada pembangun yang menggunakan versi beta, sekali gus mengetepikan ciri AI untuk tajuk berita.

    Syarikat itu merancang untuk mengaktifkan semula ciri tersebut apabila ia berfungsi dengan baik dan melancarkannya kepada semua pengguna.

    Pada Jun tahun lalu, Apple memperkenalkan model iPhone baharu dengan keupayaan AI generatif dalam usahanya untuk meningkatkan jualan dan membuktikan ia mampu bersaing dalam teknologi terkini.

    Syarikat itu amat bergantung pada model iPhone 16 baharunya dan berharap pelanggan tertarik dengan model terkini itu melalui kuasa AI yang baru diperkenalkan.

    “Kami teruja untuk memperkenalkan iPhone pertama yang direka sepenuhnya untuk Apple Intelligence dengan keupayaan revolusioner,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, semasa acara di ibu pejabat Apple di Silicon Valley. – AFP

    Gambar AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda