Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arab Saudi rancang pelaburan AS$600 bilion dengan AS

    KUALA LUMPUR, 23 JAN – Arab Saudi merancang untuk meluaskan pelaburan dan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh empat tahun akan datang yang dianggarkan bernilai AS$600 bilion dan mungkin lebih daripada itu.

    Menurut laporan agensi berita Arab Saudi, SPA, perkara itu antara topik yang dibincangkan oleh Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman semasa panggilan telefon dengan Presiden AS, Donald Trump pada petang kelmarin.

    Kedua-dua pemimpin turut membincangkan peluang kerjasama antara Arab Saudi dan AS untuk menggalakkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Timur Tengah selain meningkatkan kerjasama dua hala untuk memerangi keganasan.

    Mereka juga membincangkan cara untuk mengeratkan hubungan dalam pelbagai bidang, dan Putera Mahkota menekankan keupayaan pentadbiran AS untuk mencipta kemakmuran dan peluang ekonomi yang tidak pernah berlaku melalui pembaharuan yang dijangka di AS.

    Beliau menambah bahawa kerajaan Arab Saudi berhasrat untuk turut serta dalam peluang perkongsian dan pelaburan ini.

    Semasa panggilan itu, Putera Mahkota turut berkenan menyampaikan ucapan tahniah daripada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan mengucapkan tahniah secara peribadi kepada Presiden Trump atas pelantikannya sebagai Presiden Amerika Syarikat. Beliau turut mendoakan rakyat Amerika mencapai lebih banyak kemajuan dan kemakmuran di bawah kepimpinan Trump. – Bernama

    Presiden Donald Trump berjabat tangan dengan Putera Mohammed bin Salman semasa pertemuan dua hala di Riyadh pada 20 Mei 2017. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda