LANGKAWI, 19 JAN – Para menteri luar ASEAN mendesak junta Myanmar untuk mengutamakan gencatan senjata dalam perang saudara negara itu berbanding mengadakan pilihan raya semasa mesyuarat di Malaysia hari ini.
Tentera Myanmar merampas kuasa pada Februari 2021 dengan mendakwa terdapat penipuan besar-besaran dalam pilihan raya 2020 yang dimenangi oleh Liga Demokrasi Kebangsaan pimpinan penerima Hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi.
Junta kemudian melancarkan tindakan keras terhadap penentang dan ketika pertempuran merosakkan banyak kawasan di negara itu, mereka beberapa kali menangguhkan rancangan untuk pilihan raya yang dikritik sebagai tidak bebas atau adil.
“Perkara yang kita tahu, mereka mahu mengadakan pilihan raya. Tetapi kami beritahu mereka bahawa pilihan raya bukan keutamaan buat masa ini,” kata Menteri Luar Malaysia, Mohamad Hasan kepada wartawan selepas mesyuarat menteri luar ASEAN di Pulau Langkawi.
“Keutamaan sekarang ialah gencatan senjata dan semua pihak menghentikan serangan. Ia sangat mudah,” kata Mohamad. – AFP