Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Sekretariat ASEAN
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Belia dan ekonomi digital memainkan peranan yang kritikal dalam memastikan bahawa rantau Asia Tenggara akan terus menjadi pusat pertumbuhan.
Penekanan itu telah dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Luar, Republik Indonesia,Puan Yang Terutama Retno Marsudi dalam ucapan alu-aluannya semasa Dialog Belia ASEAN (AYD) 2023 bagi Pembangunan Digital untuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang berlangsung di Jakarta, Republik Indonesia, baru-baru ini.
Beliau turut mengetengahkan pentingnya untuk menerajui inovasi, memacu semangat keusahawanan dan mempromosikan tanggungjawab sosial dalam usaha untuk mencapai matlamat berkenaan.
Dialog Belia ASEAN 2023 telah disertai oleh kira-kira 60 orang wakil belia daripada kesemua negara anggota ASEAN dan Timor-Leste.
Acara selama tiga hari itu, bermatlamat untuk mengumpulkan cadangan dasar bagaimana bagi menjadikan pembangunan digital inklusif dan saksama di Asia Tenggara ke arah mencapai SDG.
Cadangan-cadangan berkenaan akan disampaikan kepada pemimpin-pemimpin ASEAN yang akan bersidang pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 pada 10 Mei nanti.
Semasa acara AYD 2023, Menteri Belia dan Sukan, Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dito Ariotedjo menggariskan komitmen kementeriannya untuk menyokong belia dalam sukan, inovasi dan keusahawanan di Indonesia.
Manakala itu, daripada perspektif serantau, beliau mengetengahkan pentingnya sokongan serta kolaborasi dalam kalangan belia dan pemain-pemain utama yang lain untuk memajukan pertumbuhan rantau berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung bagi Komuniti Sosiobudaya ASEAN, Ekkaphab Phanthavong menekankan keperluan kritikal bagi ASEAN untuk mempercepatkan perkembangan integrasi digital dengan penglibatan pelbagai pihak bagi memastikan tindakan bersepadu dan teliti ke arah sebuah ekonomi digital berintegrasi serantau.
AYD 2023 mengetengahkan siri perbincangan panel, dialog dan bengkel dalam pelbagai tema termasuk penyertaan belia dan inklusif dalam mempercepatkan transformasi digital, dwi peranan belia dalam pelaksanaan SDG serta laluan dalam mengukuhkan ekosistem digital serantau bagi keusahawanan belia.
Program itu juga merangkumi lawatan ke Traveloka dan Schneider Electric Indonesia untuk memperoleh kefahaman praktikal mengenai bagaimana perniagaan beroperasi dalam ekonomi digital.
Para peserta AYD 2023 turut mengambil bahagian dalam acara rangkaian sosial termasuk Festival Makanan Halal ASEAN, persembahan kebudayaan belia ASEAN dan sesi perkongsian dalam kalangan pelajar kelainan upaya dari Jakarta yang dianjurkan bersama oleh Pemerintah Wilayah Ibu Kota Khas Jakarta, Badan Amil Zakat Nasional Provinsi DKI Jakarta, Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kementerian Belia dan Sukan, Republik Indonesia.
AYD merupakan salah satu acara utama Pengerusi ASEAN 2023 Indonesia di bawah pelaksanaan Prospek ASEAN di Indo-Pasifik dan merupakan satu aktiviti di bawah Pelan Kerja ASEAN bagi Belia 2021-2025.