Sunday, May 5, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Banjir ragut 8 jiwa

    BRISBANE, AUSTRALIA, 28 FEB – Puluhan ribu warga Australia hari ini telah diarahkan untuk meninggalkan kediaman mereka ketika hujan lebat mencetuskan banjir ke paras cecah rekod, mengakibatkan sebahagian penduduk terkandas di atas bumbung rumah mereka.

    Lapan orang maut dengan biro kaji cuaca negara itu memberi amaran ribut teruk dan hujan lebat akan menyebabkan ‘banjir kilat mengancam nyawa’ di seluruh rantau pesisir tengah Pasifik.

    Di bandar Lismore, penduduk Danika Hardiman bangun pagi dan mendapati banjir lumpur telah mencecah balkoni di apartmen dua tingkatnya.

    Dia dan pasangannya memanjat ke bumbung, di mana mereka dikesan oleh individu berkayak, yang menyediakan bot penyelamat sementara.

    “Kami diselamatkan oleh dua lelaki dalam sebuah bot, dua penduduk tempatan,” kata Hardiman kepada AFP, menyifatkan kejadian di Lismore itu sebagai ‘dahsyat’.

    Gambar dari Perkhidmatan Polis Queensland menunjukkan pasukan penyelamat (kiri) menjalankan kerja penyelamatan di bandar banjir Maryborough di sepanjang sungai Mary yang melimpah. – AFP

    “Bayangkan awda di dalam bot melintas separas bumbung rumah orang lain.

    “Perkara menakutkan adalah ia hanya permulaan, banyak lagi hujan dijangka turun,” katanya.

    Dengan tetambak bandar itu sudah pun dilimpahi, 43,000 penduduk diarahkan untuk berpindah pagi ini.

    Perkhidmatan kecemasan telah dihujani dengan panggilan bantuan, menyebabkan beberapa penduduk tempatan – termasuk datuk bandar Lismore, Steve Krieg – beralih kepada media sosial bagi meminta bantuan.

    “Jika sesiapa memiliki bot dan boleh ke Engine Street, di sana ada wanita mengandung duduk di bumbungnya. Tolong bantu,” menurut hantaran dalam Facebook hari ini.

    Perkhidmatan penyelamat kecemasan berkata mereka telah menghantar sebuah helikopter untuk menyelamatkan penduduk dari bumbung rumah mereka.

    Lebih 400mm hujan telah turun dalam tempoh 24 jam sekitar Lismore, dengan Sungai bandar Wilson masih lagi meningkat, menurut biro kaji cuaca.

    Paras air di Lismore belum lagi mencecah pada kemuncak yang dijangkakan iaitu 14 meter – namun ia sudah pun menjadi banjir paling buruk yang dialami bandar itu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...