Wednesday, September 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berangkat melawat JTC Summit, Temasek Polytechnic

    REPUBLIK SINGAPURA, 12 SEPT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pagi tadi berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Jurong Town Corporation (JTC) Summit, Republik Singapura.

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Industri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Gan Kim Yong.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya dijunjung berangkat ke Exhibition Board on Punggol Digital District bagi sembah penerangan ringkas dan seterusnya menyaksikan demonstrasi sistem pembayaran berorientasikan wajah dan platform digital terbuka. Sembah penerangan antara lainnya mengetengahkan bagaimana Punggol Digital District (PDD) menggabungkan Singapore Institute of Technology (SIT) dan JTC’s Business Park untuk mencipta daerah pintar pertama di Singapura serta menyokong sektor-sektor utama ekonomi digital dan berfungsi sebagai pusat gaya hidup hijau dan inklusif.

    Duli Yang Teramat Mulia meneruskan lawatan ke The Makerspace dan seterusnya ke bilik mesyuarat bagi sembah taklimat yang antaranya memfokuskan kepada inisiatif digitalisasi dan kelestarian JTC, khususnya pembangunan PDD seperti integrasi teknologi digital di seluruh persekitaran binaan dan matlamat untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

    Sebelum mengakhiri lawatan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengikuti sesi bergambar ramai.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung berangkat ke Exhibition Board on Punggol Digital District bagi sembah penerangan ringkas semasa lawatan ke JTC Summit, Republik Singapura. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyertai aktiviti ujian sampel semasa lawatan ke Temasek Polytechnic. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung bergambar ramai semasa lawatan ke JTC Summit. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Ditubuhkan pada 1 Jun 1968, JTC, pada mulanya dikenali sebagai Jurong Town Corporation, merupakan sebuah lembaga berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, Republik Singapura (MTI) yang menyokong pertumbuhan industri baharu dan perusahaan di Republik Singapura. Sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab ke atas kemajuan industri Singapura, JTC menekankan pembangunan industri yang lebih kukuh.

    LAWATAN KE TEMASEK POLYTECHNIC

    Pada sebelah petang, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Temasek Polytechnic, bertempat di Tampines Avenue 1, Republik Singapura.

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Temasek Polytechnic dijunjung oleh Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar dan Menteri bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan Republik Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu.

    Duli Yang Teramat Mulia mula-mula dijunjung berangkat ke Temasek Polytechnic Aquaculture Innovation Centre (AIC) bagi menyertai aktiviti makmal iaitu Parasite Screening, Feed Palletizing dan Feed Stability Testing.

    Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia meneruskan lawatan ke Centre for Research and Opportunities in Plant Science (CROPS) yang berpe-ranan kepada meningkatkan produktiviti dan kelestarian pertanian di kawasan bandar dalam dua bidang utama iaitu Bioteknologi Tumbuhan dan Nutraseutikal.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya dijunjung berangkat ke Temasek Gallery Lounge dan berkenan menyertai aktiviti ujian sampel bagi pemeriksaan kesihatan mikro-organisma dan tiram.

    Sebelum mengakhiri lawatan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengikuti sesi bergambar ramai.

    AIC adalah pusat inovasi pertama di Republik Singapura yang beroperasi dengan model konsortium kolaboratif. AIC menyokong dan membangun perusahaan kecil dan sederhana dalam industri akuakultur dengan meningkatkan produktiviti pertanian, mengenal pasti teknologi yang sedang berkembang dan memfasilitasi pertumbuhan yang mampan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda