Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    BSJS sebar kesedaran kes penipuan dalam talian

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Kes penipuan adalah kes yang terbanyak dilaporkan di negara ini dan 75 peratus dari kes penipuan tersebut adalah kes penipuan dalam talian. Tren ini dijangka meningkat, di mana negara jiran dan serantau juga telah menunjukkan peningkatan tren berkenaan bagi kes penipuan dalam talian.

    Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini mengadakan jerayawara dan ceramah yang bertujuan untuk memberikan kesedaran orang awam mengenai penipuan dalam talian yang kian meningkat dan sering disiasat oleh pihak PPDB itu.

    Melalui beberapa inisiatif BSJS dan kerjasama bersama pihak berkepentingan, ceramah dan jerayawara yang dimulakan dari bulan Januari 2024 hingga kini rancak diadakan sekolah-sekolah, pejabat-pejabat kerajaan dan swasta dan pihak masyarakat di seluruh negara.

    Ceramah dan jerayawara yang diadakan bertujuan untuk melengkapkan orang ramai dengan pengetahuan dan alat yang diperlukan untuk mengenal pasti dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.

    Dengan kerjasama pihak sekolah, organisasi dan kumpulan komuniti, BSJS telah memastikan mesej mereka sampai kepada audiens yang luas dan pelbagai.

    Antara sebahagian aktiviti dari inisiatif BSJS berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN BSJS

    Sejak bermulanya inisiatif kesedaran ini, BSJS telah berjaya berinteraksi dengan ratusan individu di pelbagai peringkat umur. Usaha ini telah memberi impak yang sangat besar di sekolah-sekolah, di mana golongan muda dididik tentang kepentingan keselamatan dalam talian. Pejabat awam dan swasta dan kumpulan masyarakat juga mendapat manfaat daripada sesi yang disesuaikan yang menangani ancaman khusus yang relevan dengan ahli mereka.

    BSJS merancang untuk meneruskan dan memperluaskan lagi aktiviti-aktiviti kesedaran ini pada masa akan datang dengan cara menyarankan mana-mana pihak pejabat awam atau swasta termasuklah pesara-pesara untuk meningkatkan kesedaran dan mengelakkan diri menjadi mangsa kes penipuan berkenaan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda