Sunday, May 5, 2024
22.5 C
Brunei

    -

    Budayakan selawat dalam kehidupan seharian

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT) Pusat Belia Bandar Seri Begawan dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), baru-baru ini, telah mengadakan Majlis Selawat dan Doa Munajat yang dilaksanakan secara maya dan fizikal dengan hasrat untuk membudayakan selawat dalam kehidupan seharian.

    Menurut kenyataan yang diterima, majlis itu merupakan salah satu perisian aktiviti dalam Program Brunei Darussalam Berselawat 1444H/2022M, sebagai kesinambungan kepada program-program yang diadakan sebelum ini, iaitu Program Brunei Berselawat 1443H/2021M dan Program Kenali dan Cintai Rasulullah di mana program bagi tahun ini mengandungi beberapa siri aktiviti yang dilaksanakan secara maya dan fizikal.

    Perlaksanaan aktiviti itu turut dijayakan bersama Al-Busyra Enterprise, Belia Masjid Syababussalam Masjid Omar ‘Ali Saifuddien Bandar Seri Begawan dan Kumpulan Firqah Al-Husni yang disertai oleh 85 orang peserta daripada pelbagai peringkat masyarakat Islam di negara ini.

    Hadir menyertai aktiviti itu ialah Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin serta pemimpin-pemimpin dari organisasi belia, kampung dan mukim.

    Semasa majlis itu, para jemaah juga dipimpin dengan bacaan Selawat Jibril sebanyak 100 kali dan Selawat Nuril Mubin sebanyak 50 kali oleh Awang Ahmad Izzat Mu’izuddin bin Haji Masli, daripada Kumpulan Firqah Al-Husni yang juga disusuli dengan Doa Munajat persendirian dan secara berkumpulan yang dipimpin oleh Awang Adi Hamdi bin Haji Aminuddin.

    Sementara itu, mengemas kini jumlah selawat dalam aktiviti ‘Lakastah Berselawat’ yang disertai oleh ahli-ahli kumpulan WhatsApp, Komuniti Berselawat Brunei, lebih 3 juta kali selawat telah dikumpulkan, di mana ia adalah salah satu usaha untuk melestarikan bacaan selawat dalam kalangan masyarakat Islam negara ini.

    Program Brunei Darussalam Berselawat akan diteruskan lagi dengan Majlis Zikir Ratib Al-Attas pada 12 Oktober secara maya melalui aplikasi Zoom. Manakala itu, Majlis Selawat Perdana akan diadakan pada 21 Oktober depan di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis/Madang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...