Wednesday, September 18, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    China naikkan umur persaraan wajib

    BEIJING, 13 SEPT – China hari ini mengumumkan bahawa ia akan menaikkan umur persaraan wajib secara beransur-ansur, ketika negara itu bergelut dengan krisis demografi dan populasi yang semakin tua.

    Ratusan juta orang di China dijangka memasuki usia tua dalam beberapa puluh tahun akan datang manakala kadar kelahiran menurun dengan ketara.

    Populasi negara itu menurun pada 2023 untuk tahun kedua berturut-turut, di mana penggubal dasar dan pakar memberikan amaran tentang kesan serius terhadap ekonomi, sistem penjagaan kesihatan dan kebajikan sosial jika tindakan tidak diambil.

    Umur persaraan di China tidak dinaikkan selama puluhan tahun dan merupakan antara yang terendah di dunia.

    Agensi berita negara, Xinhua, melaporkan bahawa pegawai tertinggi di Beijing telah memutuskan bahawa ‘umur persaraan wajib bagi pekerja lelaki akan dinaikkan secara beransur-ansur dari 60 tahun kepada 63 tahun’.

    Bagi pekerja wanita, umur persaraan akan dilanjutkan ‘dari 50 atau 55 tahun pada asalnya kepada 55 dan 58 tahun masing-masing’, bergantung kepada jenis pekerjaan, lapor Xinhua. Ia menyatakan bahawa umur persaraan akan dinaikkan secara beransur-ansur selama 15 tahun mulai 2025, menambah bahawa mulai 2030, pekerja perlu membuat caruman pencen asas minimum selama 20 tahun berbanding 15 tahun sekarang.

    Peraturan baharu ini akan membolehkan rakyat China ‘menangguhkan persaraan ke tarikh yang lebih lewat jika mereka mencapai persetujuan dengan majikan’, lapor Xinhua.

    Peraturan tersebut akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025. – AFP

    Warga emas berehat di sebuah taman di Fuyang di wilayah Anhui, timur China, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda