Penyanyi Malaysia, Ameng Spring menasihatkan masyarakat menjauhi perkara negatif seperti mengambil dadah dan arak yang boleh merosakkan kesihatan.
Ameng berkata, perkara itu langsung tidak memberi faedah, bahkan bakal membawa kehancuran dan kematian dalam hidup seseorang jika tidak dibendung daripada awal.
“Tiada faedah langsung, rugi duit, masa dan kalau terjadi apa-apa memang tak berbaloi.
Jadi, kepada mereka yang terbabit cepatlah insaf sebelum terlambat kerana ia memang sangat negatif.
“Sebagai contoh, orang yang ambil alkohol akan merosakkan sistem dalam badan apabila menghidap sakit saraf dan sebagainya.
“Begitu juga ambil dadah. Mungkin tak kena tangkap, tapi ada bahaya lain menanti seperti khayal semasa memandu sehingga mengakibatkan kemalangan maut,” katanya kepada Harian Metro.
Ameng berkata dia bukan sengaja mereka-reka cerita, tetapi bercakap berdasarkan bukti di depan mata.
“Ada kawan saya yang meninggal dunia kerana sakit jantung, kena penyakit buah pinggang, saraf dan macam-macam lagi akibat aktiviti negatif ini.
“Benda salah yang kita buat pasti akan memakan diri semula. Kalau tak kena sekarang mungkin ia akan kena pada masa akan datang.
“Ada juga yang tiba-tiba sakit sebelum waktunya. Sepatutnya, umur 40an atau 50an tak sakit lagi, kalau ikutkan kesihatan masih normal.
“Kecuali kalau meninggal dunia pada usia 70an kerana boleh ditakrifkan sebagai sakit tua,” katanya. – Agensi