Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Seorang qariah telah berlepas ke Dubai hari ini bagi mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Musabaqah Sheikh Fatima bint Mubarak International Holy Quran Competition Award Dubai ke-7 yang akan bermula esok hingga 22 September.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar kepada Dayang Salwa binti Haji Ibrahim ialah Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Awang Hassan Baha bin Haji Umar dan Pemangku Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusop.
Mahasiswi Tahun 4, Fakulti Qiraat di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) itu merupakan johan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya bagi Kategori D (15 Juz) Tahun 2018 dan peserta Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya bagi Kategori E (30 Juz) Tahun 2023.
Beliau juga penerima Anugerah Cemerlang sepanjang pembelajaran Diploma Aliyah Qiraat, ITQSHHB bagi Hafazan Al-Quran.
Ikut serta ialah Dayang Faten Salwa binti Haji Ibrahim selaku pengurus rombongan merangkap jurulatih.
