Saturday, May 11, 2024
24 C
Brunei

    -

    Pelajar perlu lapor jika berdepan keganasan, ugutan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BELAIT, 15 SEPT – Para pelajar dinasihati untuk sentiasa berhati-hati dan melaporkan kepada tenaga pengajar jika berdepan keganasan atau ugutan semasa pembelajaran sebagai tindakan awal, selain daripada membuat laporan kepada pihak berkuasa.

    Di samping itu, para penuntut juga ditekankan untuk mengetahui akan hak masing-masing apabila berdepan dengan isu-isu keganasan atau ugutan.

    Perkara tersebut diketengahkan oleh DSP Norkhatijah binti Haji Zainal dari Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak sebagai salah seorang ahli panel forum lanjutan PREPanita di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah, Daerah Belait, kelmarin.

    Semasa forum bertajuk ‘Communi-Kasih: Komunikasi Adalah Kunci Kebahagiaan’ itu, beliau mengongsikan mengenai kes-kes yang diterima berkenaan wanita dan tindakan yang dapat diambil jika ada keganasan atau ugutan yang berlaku.

    Beliau menyatakan kes yang paling tinggi adalah berkaitan keganasan rumah tangga terhadap isteri dan kes seksual dari segi menjatuhkan maruah seperti menjatuhkan maruah melalui media sosial.

    Antara pelajar yang bertanyakan soalan kepada panel semasa forum PREPanita di IBTE Kampus Sultan Bolkiah, Belait. – Gambar serahan JAPEM
    Para panel semasa mengendalikan forum yang diadakan di IBTE Kampus Sultan Bolkiah, Belait. – Gambar serahan JAPEM
    Antara pelajar yang menghadiri forum tersebut. – Gambar serahan JAPEM

    Lebih daripada 100 orang penuntut IBTE menghadiri forum lanjutan PREPanita anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan persatuan-persatuan bukan kerajaan berkenaan.

    Forum dikendalikan oleh Dayang Irnawati binti Haji Mahir dari JAPEM selaku moderator.

    Seorang lagi ahli panel, Dayang Salmah binti Haji Ahmad dari Bahagian Khidmat Nasihat Negara pula mengongsikan mengenai peranan lelaki dari perspektif Islam serta interaksi pergaulan antara perempuan dan lelaki yang mengikut batas syariat.

    Beliau menekankan peranan lelaki adalah sebagai pemimpin dalam keluarga, di samping menjadi pelindung bagi ahli-ahli keluarga lainnya.

    Di samping itu, beliau juga menasihati, pergaulan antara lelaki dan perempuan perlulah dijaga dengan baik agar tiada perkara yang tidak diingini boleh berlaku, serta menasihatkan para penuntut untuk sentiasa menjaga mata, cara percakapan mahupun perbuatan.

    Para pelajar seterusnya mendengarkan taklimat daripada Pegawai Kebajikan Perubatan Hospital Suri Seri Begawan, Hajah Hadzilahwatie binti Haji Abdul Hamid yang mengongsikan, antara kes-kes mencabar yang pernah ditangani oleh Kebajikan Perubatan Hospital ialah kes melahirkan anak sebelum berkahwin.

    Menurut beliau, kes-kes seperti itu boleh mendorong kepada masalah kesihatan kepada ibu selepas proses melahirkan tambahan lagi jika wanita tersebut tiada sokongan yang baik, yang boleh menyebabkan kesihatan fizikal dan mental boleh terjejas.

    Beliau menasihati para penuntut untuk mengetahui kepentingan self-care dan meminta pertolongan apabila menghadapi kesusahan (seek help).

    Manakala itu, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Project Women and Girls Development Enterprise atau Project Women Brunei, Dayang Nur Judy binti Abdullah pula mengongsikan kepentingan kumpulan sokongan kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dan keberkesanan projek agensi beliau dalam membantu wanita membangun kerjaya dan kehidupan mereka.

    Beliau menerangkan, peranan projek agensi beliau ialah untuk memberikan pendedahan mengenai kepentingan hak-hak wanita seperti hak untuk dilindungi, hak bekerja dan hak untuk mengambil bahagian dalam membuat sesuatu keputusan.

    Di kesempatan itu juga, beliau turut memperkenalkan khidmat yang diberikan oleh Project Women Brunei iaitu khidmat klinik nasihat yang dibukakan bagi lelaki dan perempuan, di mana khidmat nasihat dan konsultasi secara dalam talian dan percuma diberikan mengenai isu-isu yang dibincangkan.

    Forum berkenaan akan dilanjutkan ke IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal pada 20 September depan.

    Ia bertujuan untuk mempertingkatkan kesedaran tentang kepentingan hak-hak wanita dan mempersiapkan diri kaum wanita dan kaum lelaki untuk cekal menghadapi masalah atau musibah yang tidak dijangka di samping untuk memberikan pendedahan mengenai penerapan positif dalam kehidupan dan tatacara untuk berani tampil ke hadapan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jepun cadang perluas penangkapan ikan paus komersial kepada ikan paus sirip

    TOKYO, 10 MEI - Agensi Perikanan Jepun telah mencadangkan memperluaskan penangkapan ikan paus komersil di sepanjang pantai negara kepada ikan paus sirip, spesies yang...