Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    DBP sokong usaha Suruhanjaya Tinggi Malaysia

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Dalam rangka menggiatkan diplomasi budaya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan kini aktif mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan di Brunei Darussalam. 

    Terkini, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah telah me-ngadakan pertemuan bersama Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Suip bin Haji Abdul Wahab. 

    Turut hadir semasa pertemuan itu ialah Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit dan pegawai-pegawai DBP. 

    Kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar pandangan mengenai usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi. 

    Tuan Yang Terutama juga menyatakan hasrat Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak DBP dalam menganjurkan program yang bertujuan untuk mempromosi bahasa dan kebudayaan Melayu. 

    Memandangkan Malaysia dan Brunei Darussalam berkongsi bahasa dan kebudayaan yang sama, pihak DBP mengalu-alukan cadangan berkenaan dan bersependapat dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia agar kedua-dua negara meningkatkan usaha untuk mempromosikannya. 

    Suruhanjaya Tinggi Malaysia pada ketika ini dalam usaha untuk bekerjasama dengan pihak berkaitan di negara ini untuk menganjurkan program mempromosi dan memartabatkan Bahasa Melayu. 

    Bagi tujuan ini, suruhanjaya berkenaan telah mengadakan beberapa siri pertemuan termasuklah dengan institusi pendidikan tinggi di negara ini.

    TYT Dato’ Raja Reza semasa membuat pertemuan bersama Awang Suip.
    TYT Dato’ Raja Reza menyaksikan buku-buku yang dipamerkan semasa pertemuan bersama Awang Suip.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...