Monday, January 27, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doktor kongsi video pembedahan pada diri sendiri

    TAIPEI, 26 JAN – Seorang pakar bedah plastik Taiwan telah mendapat perhatian ramai kerana berkongsi video pembedahan ke atas dirinya sendiri sebagai hadiah kepada isterinya.

    Oddity Central melaporkan Chen Wei-nong mengambil video ketika melakukan vasektomi, iaitu pembedahan memotong saluran sperma ke atas dirinya sendiri sebagai langkah mencegah kehamilan pada isterinya.

    Beliau yang juga bapa kepada tiga orang anak, berkongsi video berkenaan di Facebook dan Instagram profail miliknya dan telah menjadi tular.

    Doktor muda itu memutuskan untuk merekodkan keseluruhan proses demi mengelakkan risiko prosedur yang tidak dipatuhi dan juga untuk tujuan pendidikan.

    Selepas membentangkan senarai 11 langkah yang terlibat dalam pembedahan, Chen mendapat bius tempatan dan kemudian mula bekerja pada dirinya sendiri.

    Kebiasannya proses berkenaan mengambil masa 15 minit. Namun, oleh kerana pembedahan dilakukan ke atas diri sendiri, pembedahan berkenaan akhirnya mengambil masa sejam.

    “Ia adalah perasaan yang aneh untuk menyentuh dan menjahit uretra (saluran kencing) saya sendiri,” kata Chen kepada pengikut media sosialnya.

    “Untuk kes pembedahan cegah kehamilan pada wanita, ia sangat sukar, tetapi dalam kes lelaki, ia lebih mudah kerana masalah itu pada asasnya diselesaikan dengan mencari vas deferens (saluran sperma) secara luaran dan kemudian mengikatnya.”

    Video Chen menjadi tular di Taiwan dengan lebih 4 juta tontonan dalam masa beberapa hari sahaja.

    Walaupun kebanyakan komen memuji keberanian, kemahiran dan kasih sayang terhadap isterinya, ada yang menyatakan kebimbangan tentang keselamatan prosedur yang dilakukan sendiri.

    Doktor muda itu menjelaskan bahawa dia seorang pakar bedah berlesen dan vasektomi itu dilakukan atas risikonya sendiri, dilakukan di luar waktu kerja dan di bawah pengawasan pakar urologi.

    Namun, beliau memberi amaran kepada semua orang supaya jangan meniru perbuatannya sebaliknya mencari pakar urologi yang berkelayakan.

    Beliau mengadu mengalami sedikit kesakitan dan ketidakselesaan pada malam pembedahan, tetapi keadaannya pulih apabila beliau bangun keesokan harinya.

    Beliau digelar ‘lelaki paling berani di Taiwan’ kerana melakukan vasektomi pada dirinya sendiri.

    Berikutan siasatan awal, Jabatan Kesihatan Taipei mengesahkan bahawa Dr Chen, seorang doktor bertauliah, tidak menghadapi masalah undang-undang dengan prosedur yang dijalankan ke atas dirinya itu. – Agensi

    Antara gambar dari video semasa beliau menjalankan vasektomi berkenaan. – Oddity Central
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda