Friday, January 17, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dunia zahir reaksi positif terhadap gencatan senjata Gaza

    KUALA LUMPUR, 16 JAN – Pengumuman perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas telah menimbulkan keyakinan berhati-hati dan secarkil harapan, ketika pemimpin dunia dan tokoh awam mengiktiraf kepentingannya sambil menggesa kewaspadaan dan usaha berterusan untuk keamanan yang berkekalan.

    Gencatan senjata yang dijadualkan bermula pada Ahad ini diumumkan pada petang kelmarin oleh Perdana Menteri Qatar Mohammed bin Abdulrahman. Gencatan senjata itu bertujuan menghentikan konflik yang telah berlangsung selama 15 bulan dan difasilitasi oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS), dengan tempoh gencatan awal 42 hari.

    The Times, sebuah akhbar harian dari Britain, melaporkan bahawa pemimpin global telah menyatakan harapan mereka agar gencatan senjata ini membawa kepada keamanan yang kekal, dengan ramai yang menyeru agar bantuan kemanusiaan diberikan dan memberi tumpuan kepada penyelesaian dua negara.

    Presiden AS Joe Biden, mengalu-alukan gencatan senjata itu, menyifatkan rundingan tersebut sebagai antara yang paling mencabar yang pernah dialaminya, menurut Reuters.

    Dalam satu kenyataan di Rumah Putih, Biden juga menekankan implikasi perjanjian yang lebih luas, dengan berkata, “Bagi rakyat Palestin, sebuah jalan yang kukuh dan boleh dipercayai menuju kepada kewujudan negara sendiri. Dan bagi rantau ini, masa depan normalisasi, integrasi Israel dan semua jiran Arabnya, termasuk Arab Saudi.”

    Sementara itu, Presiden terpilih AS Donald Trump, dalam satu ciapan di platform Truth Socialnya, berkata, “Kami mempunyai perjanjian untuk tebusan di Timur Tengah. Mereka akan dibebaskan tidak lama lagi. Terima kasih!”.

    Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, turut mengalu-alukan perjanjian itu.

    “PBB sedia menyokong pelaksanaan perjanjian ini dan meningkatkan penyampaian bantuan kemanusiaan yang berterusan kepada ramai rakyat Palestin yang terus menderita.

    “Gencatan senjata ini mesti menghapuskan halangan keselamatan dan politik yang ketara untuk menyampaikan bantuan di seluruh Gaza agar kita dapat menyokong peningkatan besar dalam sokongan kemanusiaan menyelamatkan nyawa segera,” kata Guterres menurut Reuters. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda