MANILA, 20 JAN – Pihak berkuasa keselamatan Filipina hari ini telah menahan seorang jurutera perisian warga China yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengintipan terhadap kem tentera dan polis di negara itu.
Penahanan tersebut dilakukan ketika ketegangan maritim yang semakin memuncak antara Filipina dan China berhubung perebutan terumbu karang dan perairan di Laut China Selatan.
China menuntut sebahagian besar kawasan strategik itu walaupun keputusan undang-undang antarabangsa telah menolak asas tuntutan tersebut.
Ketua Biro Penyiasatan Negara (NBI), Jaime Santiago, dalam satu sidang media, memaklumkan bahawa jurutera tersebut, Deng Yuanqing, bersama dua pemandu warga Filipina, ditahan minggu lalu sebagai sebahagian daripada operasi intipan balas yang bermula bulan lepas.
“Deng dikatakan bergabung dengan universiti China yang dikawal oleh Tentera Pembebasan Rakyat dan merupakan sebahagian daripada pasukan yang dihantar untuk menjalankan aktiviti pengintipan di negara kita,” katanya.
Bagaimanapun, Kedutaan China di Manila belum memberikan sebarang ulasan berhubung penahanan itu dan tuduhan yang dikemukakan.
Ketua Jabatan Jenayah Siber NBI, Jeremy Lotoc, menyatakan bahawa Deng kerap mengunjungi lokasi infrastruktur penting seperti kem tentera, pejabat kerajaan tempatan, loji kuasa, kem polis, balai polis, malah pusat beli-belah.
“Mereka pada asasnya mengumpul data menggunakan aplikasi jarak jauh yang menghantar maklumat tersebut ke luar negara dalam masa nyata,” kata Lotoc.
Tambah beliau, maklumat yang dihantar mungkin merangkumi koordinat geografi dan topografi, yang disifatkan sebagai sesuatu yang membimbangkan. Ketua Angkatan Tentera Filipina, Jeneral Romeo Brawner, turut menyatakan kebimbangan bahawa maklumat tersebut boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan seperti penyasaran lokasi. – AFP