TOKYO, 13 JAN – Gempa bumi dengan magnitud 6.8 melanda barat daya Jepun malam ini, mencetuskan dua tsunami kecil namun tiada kerosakan dilaporkan.
Menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa tersebut berlaku pada kedalaman 36 kilometer (km) kira-kira 18km dari pesisiran pantai Miyazaki di wilayah Kyushu, sekitar jam 9:19 malam.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran kemungkinan gelombang tsunami setinggi satu meter dan menggesa orang ramai menjauhi kawasan pantai.
“Tsunami boleh berlaku berulang kali. Jangan masuk ke laut atau menghampiri kawasan pantai,” kata JMA menerusi platform X.
Dua gelombang kecil tsunami setinggi kira-kira 20 sentimeter dikesan di dua pelabuhan di kawasan tersebut, menurut agensi cuaca berkenaan.
Media tempatan melaporkan tiada kecederaan segera, manakala siaran langsung televisyen NHK menunjukkan tiada kerosakan ketara, laut yang tenang, kapal beroperasi seperti biasa dan trafik berjalan lancar.
Jepun, yang terletak di atas empat plat tektonik utama di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, merupakan salah satu negara paling aktif secara tektonik di dunia. – AFP