Monday, January 20, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gencatan senjata ditunda

    BAITULMAQDIS, 19 JAN – Penyelamat pertahanan awam Gaza melaporkan bahawa serangan udara Israel hari ini telah mengorbankan lapan orang, selepas Israel menyatakan bahawa gencatan senjata dalam perang dengan pejuang Hamas ditangguhkan pada saat akhir atas arahan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

    Kenyataan daripada pejabat Netanyahu, yang dikeluarkan kurang sejam sebelum gencatan senjata dijadualkan bermula pada pukul 8:30 pagi, menyatakan bahawa beliau telah mengarah IDF (tentera) gencatan senjata tidak akan bermula sehingga Israel menerima senarai tebusan yang akan dibebaskan.

    Pejuang Hamas, sambil mengulangi komitmennya terhadap syarat-syarat gencatan senjata berkata, “Kelewatan dalam memberikan nama-nama mereka yang akan dibebaskan dalam kumpulan pertama adalah disebabkan oleh sebab teknikal,” dan kemudiannya menambah bahawa senarai tersebut akan diberikan ‘pada bila-bila masa.’

    Tentera Israel mengesahkan sejurus selepas pukul 8:30 pagi bahawa ia masih ‘terus menyerang di dalam kawasan Gaza pada masa ini’ susulan arahan Netanyahu.

    Gambar siaran langsung AFPTV dari timur laut Gaza menunjukkan kepulan asap kelabu kira-kira 30 minit selepas gencatan senjata dijadualkan bermula, dan sekali lagi kira-kira 30 minit kemudian.

    Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal melaporkan tiga orang terbunuh di utara Gaza dan lima lagi di Bandar Gaza, dengan 25 orang mengalami kecederaan.

    Pertukaran awal itu bertujuan membebaskan tiga tebusan Israel dari penahanan sebagai balasan untuk kumpulan pertama tahanan Palestin.

    Jika gencatan senjata diteruskan, sejumlah 33 tebusan yang diculik oleh pejuang semasa serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel akan dipulangkan dari Gaza dalam gencatan senjata awal selama 42 hari.

    Di bawah perjanjian tersebut, ratusan tahanan Palestin akan dibebaskan dari penjara Israel. – AFP

    Penduduk Palestin yang berpindah berjalan di sepanjang jalan di kawasan Saftawi di Jabalia. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda