Wednesday, October 2, 2024
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Orientasi Kemuda dedah hal ehwal institut

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Institut KEMUDA mengadakan Hari Orientasi bagi mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu bagi pengambilan Oktober di kampusnya, di Beribi.

    Acara sehari berkenaan bertujuan untuk memperkenalkan para pelajar baharu itu kepada prosedur, kemudahan institut, dan memberi mereka peluang untuk bertemu dengan pentadbir kampus, kakitangan dan pelajar senior.

    Program dimulakan pada awal pagi dengan ketibaan dan pendaftaran pelajar baharu.

    Selepas pendaftaran, latihan kecemasan telah dijalankan bagi memastikan kesedaran keselamatan dalam kalangan para pelajar dan diteruskan dengan doa pembukaan yang dibacakan oleh Awang Muhd ​​Azrin.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pengetua Institut KEMUDA, Awang Mohd Khairy Yusrin bin Haji Abdul Salam menekankan kepentingan menyediakan pelajar untuk perjalanan akademik mereka dan berkongsi pandangan tentang misi dan matlamat KEMUDA.

    Pelaksanaan acara orientasi itu juga termasuk taklimat mengenai peraturan institut bagi memastikan pelajar baharu dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu mereka dengan lancar.

    Dalam pada itu, acara berkenaan turut dimuatkan dengan sesi pengenalan kepada Ahli Jawatankuasa Majlis Pelajar yang telah disampaikan oleh Ketua Akademik, Awang Mohd Azhar Azmi bin Haji Naseem Ahamad.

    Pelbagai permainan dan aktiviti yang menarik turut memeriahkan sepanjang acara berkenaan termasuklahnya sesi suai kenal untuk membolehkan golongan pelajar mengenali antara satu sama lain dan berasa lebih selesa dalam persekitaran kolej baharu mereka.

    Mereka juga diberi taklimat tentang kursus yang ditawarkan dan berpeluang mengadakan lawatan ke persekitaran institut tersebut.

    Institut KEMUDA mengadakan Hari Orientasi untuk mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu mereka. – GAMBAR SERAHAN INSTITUT KEMUDA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda