Thursday, May 2, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Ikan oscar miliki personaliti unik

    Oleh Raz AS –

    Menjadi kegilaan ramai disebabkan warnanya yang cantik dan personalitinya yang menarik, ikan oscar yang dipelihara di dalam akuarium mempunyai kebolehan untuk mengenal pasti tuannya sendiri.

    Spesis ikan peliharaan yang popular di seluruh dunia ini menerima julukan sebagai ‘anak anjing air’ kerana ia mempunyai kepintaran untuk datang menyapa tuannya sebaik sahaja melihat kelibat tuannya dan dapat dilatih makan dengan disuap, seakan-akan memelihara seekor anak anjing.

    Ikan oscar sebenarnya merupakan spesies ikan cichlid yang berasal dari Amerika Selatan.

    Ia dijumpai di kawasan-kawasan yang mempunyai arus perlahan dan mempunyai akar-akar pokok, batu-batu dan struktur tenggelam.

    Saiz oscar dewasa boleh mencecah sehingga lebih 30 sentimeter panjang, dan tumbesarannya akan mudah dilihat apabila ia berusia antara enam ke 12 bulan. Setelah itu, ia akan perlahan-lahan membesar sepanjang hidupnya, di mana ia boleh hidup hingga mencecah usia 20 tahun.

    Tiger oscar merupakan varieti yang paling lazim ditemui. – GAMBAR OLEH FISH LABORATORY
    Ikan oscar boleh dilatih makan dengan disuap. – GAMBAR OLEH JASON KELLEY

    Warna ikan oscar yang paling lazim didapati adalah merah-jingga-hitam atau lebih dikenali sebagai tiger oscar. Antara varieti lain termasuk warna albino, merah, hitam-putih dan kekuningan.

    Disebabkan saiznya, seekor ikan oscar perlu ditempatkan di dalam akuarium dengan ukuran minimum sekurang-kurangnya 200 liter isi padu atau empat kaki panjang. Semakin banyak ikan oscar yang dipelihara semakin besarlah saiz akuarium diperlukan.

    Ikan ini memerlukan suhu air antara 23-27 darjah Celsius dengan bacaan pH antara enam hingga lapan. Manakala jenis penapis akuarium yang sesuai digunakan adalah daripada jenis yang mampu mengatasi banyak bahan buangan kerana ikan oscar akan menghasilkan banyak buangan. Oleh yang demikian, tidak kiralah jenis apa pun penapis yang awda gunakan, yang penting ia tidak menghasilkan arus yang kuat.

    Sesetengah ikan oscar berkemungkinan akan bersikap territorial atau agresif sesama sendiri, oleh itu si pemiliknya perlu bersedia untuk mengasingkannya sekiranya mereka memelihara lebih daripada satu oscar dalam akuarium yang sama.

    Perhiasan atau tumbuhan dalam air boleh mencantikkan akuarium awda namun begitu lebih baik membiarkan akuarium kosong bagi memberikan laluan kepada ikan oscar awda untuk berenang lebih-lebih lagi jika saiz akuarium tersebut tidak cukup besar.

    Jangan tempatkan ikan oscar bersama ikan-ikan kecil kerana ia akan memakannya. Jika tidak, ikan-ikan tersebut akan menjadi hidangan bagi ikan oscar. Ikan ini sesuai ditempatkan bersama ikan-ikan yang mempunyai saiz serupa atau lebih besar daripadanya, tetapi perlu diingat ia perlulah daripada spesis ikan yang tidak agresif.

    Selain diberi makan dengan palet, ikan oscar juga boleh diberi makan makanan segar seperti serangga, cacing, ikan kecil, krustasea, kacang pis dan hirisan kecil buah-buahan seperti lobak merah, pisang dan epal.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...