Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Impian Elfira Loy mahu tunai haji bersama ibu tercapai

    Pelakon Elfira Loy meluahkan rasa syukur apabila impiannya untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah bersama ibu tercapai.

    Kata Elfira atau Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 30, perancangan untuk menunaikan haji bersama ibu itu sudah dibuat sejak beberapa tahun yang lalu.

    Namun, niat berkenaan terbantut kerana mengenangkan anak-anaknya yang masih kecil.

    “Syukur sangat impian mama (ibu Elfira) dan saya untuk mengerjakan haji bersama beberapa tahun lama yang lepas akhirnya terkabul.

    “Sebenarnya Alhamdulillah kami berdua mendapat peluang untuk mengerjakan haji dari Tabung Haji.

    Elfira bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu Allah. – mStar

    “Tapi disebabkan memikirkan fasal anak jadi saya menolak dan dan dahulukan mama dulu,” katanya dalam satu hantaran di Instagram miliknya.

    Bagaimanapun rezeki itu datang sekali lagi apabila Elfira menerima undangan daripada Kementerian Media Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji pada saat-saat akhir.

    Kata Elfira, jemputan kali kedua ini membuktikan dirinya sememangnya ditakdirkan menjadi tetamu Allah bagi melengkapkan rukun Islam kelima berkenaan.

    “Pada hari Doa Selamat mama, saya mendapat berita gembira bahawa ada jemputan dari Kementerian Media Arab Saudi.

    “Masya-Allah! Allah benar-benar menjemput saya sehingga dua kali jemputannya, jadi saya tawakal pada Allah. Saya pergi sahaja Lillahitaala,” ujarnya, memetik laporan mStar.

    Elfira berangkat ke Tanah Suci pada 10 Jun lalu menerusi jemputan dari Kementerian Arab Saudi. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda