Thursday, May 2, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Industri perikanan perlu tenaga muda, elak dikuasai warga asing

    Oleh Soon Li Wei & Rohani Mohd Ibrahim
    Gambar Bernama

    SEKINCHAN – Suasana petang di Pantai Redang, antara tempat menarik di bandar kecil ini tampak lebih meriah, menjelang hujung minggu dan cuti umum, berbanding daripada hari-hari biasa,

    Selain pemandangan indah matahari terbenam menjelang senja, rata-rata pengunjung sama ada datang dari Lembah Klang mahupun negeri berdekatan, menjadikannya tempat persinggahan untuk menikmati hidangan hasil laut segar di samping berekreasi bermain layang-layang dan aktiviti lain.

    Perkampungan nelayan Bagan Sekinchan dan jeti lama yang terletak bersebelahan Pantai Redang, turut terkenal dalam kalangan ‘kaki pancing’ untuk mengasah bakat menangkap ikan-ikan kecil yang berenang-renang di tepi tiang jeti.

    Sambil memerhati keindahan perkampungan nelayan Bagan Sekinchan yang kelihatan tenang, sesekali kedengaran bunyi enjin dihidupkan menandakan beberapa buah bot akan bertolak semula ke tengah laut untuk mendapatkan hasil laut daripada bot besar yang lain.

    Walaupun cuaca panas membahang, saya bersama rakan penulis Rohani, berasa teruja untuk bersantai, menikmati pemandangan indah jeti yang terletak bersebelahan dengan Pantai Redang. Boleh dihidu bau masin air laut dan ikan sesekali angin sepoi bertiup dari arah laut.

    Quah Kin Hee memulakan perniagaan menjual hasil laut dan barangan cenderahati di tepi jeti sejak 10 tahun lalu. Beliau juga berkata bahawa dahulunya pekerjaan sebagai nelayan banyak didominasi oleh orang tempatan kerana ia kebanyakannya diwarisi turun-temurun.
    Suasana petang di Pantai Redang, antara tempat menarik di bandar kecil yang semakin meriah menjelang hujung minggu dan cuti umum, berbanding hari-hari biasa.
    Suasana di perkampungan nelayan Bagan Sekinchan dan jeti lama yang terletak bersebelahan Pantai Redang.

    “Di sini memang sibuk, ikut air pasang surut. Kalau air pasang pagi, bot akan mula mendarat dan mereka perlu tinggalkan jeti sebelum air surut pada tengah hari nanti,” kata pemilik kedai hasil laut bersebelahan dengan jeti lama Bagan Sekinchan, Quah Kin Hee, 63.

    Bekas nelayan itu memulakan perniagaan menjual hasil laut dan barangan cenderahati di tepi jeti itu sejak 10 tahun lepas, selepas beliau bersara dan tidak lagi keluar ke laut.

    Menurut anak jati Bagan Sekinchan yang bekerja dalam industri perikanan selama lebih 30 tahun itu, dahulunya, pekerjaan sebagai nelayan banyak didominasi orang tempatan kerana ia kebanyakannya diwarisi sejak turun-temurun.

    “Dahulu kebanyakan anak lelaki akan mengikut ayah ke laut untuk membantu menangkap ikan, lagipun pada masa itu tak ramai yang mampu pergi sekolah. Anak perempuan pula membantu mengait pukat dan jala selain membantu ibu mereka menguruskan rumah tangga.

    “Namun, oleh kerana generasi muda kemudiannya sudah mampu mendapat pendidikan tinggi dan sering dididik untuk tidak mengikuti jejak langkah ibu bapa mereka yang menerima gaji tidak setimpal dengan pekerjaan sebagai nelayan. Ramai dalam kalangan mereka juga sudah berhijrah ke bandar.

    “Yang tinggal hanyalah generasi seperti saya yang masih lagi menjadi nelayan dan mengekalkan ilmu penangkapan ikan tradisional dengan meramal cuaca berdasarkan arah angin dan air pasang surut mengikut arah bulan,” katanya.

    Amalan tradisional turun-temurun

    Apa yang diluahkan oleh Quah ada kebenarannya. Berdasarkan pencarian penulis dalam data Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), setakat tahun 2020, daripada jumlah 51,608 nelayan berdaftar di Malaysia, hanya 24.9 peratus adalah nelayan dalam lingkungan umur 15 hingga 40 tahun.

    Malah menurut LKIM, nisbah nelayan muda berumur 15 hingga 40 tahun menurun daripada 26.5 peratus pada tahun 2019 kepada 24.9 peratus dalam tempoh yang sama setakat tahun 2020.

    LKIM juga turut menyebut bahawa punca kemerosotan belia melibatkan diri dalam bidang perikanan dalam tempoh 10 tahun itu membawa kepada peningkatan nelayan asing.

    Quah memberitahu Bernama, hampir 80 peratus nelayan di Bagan Sekinchan adalah warga asing terdiri daripada warga Vietnam, Thailand, Indonesia dan Kemboja.

    “Sudah tidak ramai generasi muda Malaysia yang berminat mengikut jejak langkah ibu bapa mereka keluar ke laut untuk menangkap hasil laut, sama seperti nelayan lain.

    “Mereka lebih rela menggaji nelayan asing yang sangat mahir dalam amalan penangkapan ikan berbanding nelayan tempatan.

    Berdasarkan statistik Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sehingga April 2023, seramai 12,603 nelayan asing, mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tertakluk di bawah Seksyen 60K, Akta Kerja 1955 di seluruh negara.

    Peluang lebih cerah berhijrah

    Bukan sahaja ada anak muda yang mahu ‘melihat dunia luar’ dengan berhijrah terutamanya ke bandar besar dan dalam masa yang sama ada juga sesetengah ibu bapa yang tidak mahu anaknya mengikut jejak langkah yakni pekerjaan yang mereka lakukan.

    Seperti kongsi pengusaha inap desa, Oscar Lee, 36, iaitu generasi ketiga keluarga nelayan, sejak kecil lagi, ibu bapa mahupun saudara-maranya sering mengingatkan beliau supaya tidak mewarisi pekerjaan mereka sebagai nelayan.

    “Mereka selalu mengingatkan kami bahawa pekerjaan ini sangat bahaya dan tidak ada pilihan, namun generasi muda mempunyai pilihan untuk keluar dari kepompong kemiskinan menerusi pendidikan dan mengubah nasib.

    “Sebab itulah kini kebanyakan nelayan tempatan adalah terdiri daripada warga emas di kampung ini, paling tidak pun ada seorang dua yang muda, dalam lingkungan 30an, tapi amatlah jarang,” katanya.

    Stigma 3D

    Menurut laporan, rakyat Malaysia adalah antara populasi dunia yang paling banyak makan hasil laut, sekali gus mencerminkan betapa pentingnya industri perikanan negara kepada rantaian bekalan makanan domestik.

    Namun, rata-rata mereka yang bekerja sebagai nelayan adalah golongan pertengahan usia yang berkecimpung dalam bidang itu sejak remaja selain warga asing.

    Di sebalik pelbagai inisiatif kerajaan untuk merancakkan industri perikanan di negara ini, golongan muda sedia ada pula menjauhkan diri daripada pekerjaan yang dianggap mereka sebagai 3D (Dangerous, Dirty, Difficult – Bahaya, Kotor, Sukar).

    Antara insentif berkenaan adalah pemberian elaun sara hidup nelayan (ESHN), pengurusan Skim Subsidi Diesel dan Petrol, Pinjaman Dana Nelayan, Projek Khas Perumahan Nelayan dan Skim Perlindungan Keselamatan Nelayan.

    Menurut laporan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), pada tahun 2020, hanya 11.17 peratus daripada nelayan muda secara keseluruhan mendapat manfaat daripada semua inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan menerusi LKIM dan Jabatan Perikanan.

    Cadangan mencambah minat belia

    Dalam laporan berkenaan, MARDI turut menyebut beberapa cabaran yang mungkin menyumbang kepada kurangnya golongan beliau dalam industri perikanan, iaitu kesukaran mendapatkan bantuan teknikal, kurang sokongan dan masalah birokrasi.

    Meskipun agensi kerajaan terlibat secara langsung program latihan perikanan, namun program berkenaan tidak menyeluruh dan tidak memberi fokus kepada keperluan golongan belia.

    Laporan itu juga menekankan untuk menarik anak muda menyertai industri perikanan, kerajaan perlu mengetengahkan perikanan sebagai kegiatan keusahawanan yang boleh menjana pendapatan yang baik serta memberi jaminan kewangan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...