TEHRAN, 27 OKT – Iran memberi amaran kelmarin ia akan mempertahankan diri selepas serangan udara Israel yang telah membunuh empat tentera dan seterusnya menimbulkan kebimbangan terhadap perang besar-besaran di Timur Tengah.
Israel memberi amaran kepada Iran ia akan ‘membayar harga yang tinggi’ jika membalas serangan itu, manakala Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Britain menuntut Tehran supaya tidak meningkatkan lagi konflik tersebut.
Presiden AS, Joe Biden, berkata beliau berharap ‘ia adalah penamat’ selepas serangan yang dilakukan Israel ke atas Iran.
Biden telah menggesa Israel supaya mengelak menyerang kemudahan nuklear dan minyak dalam serangan balasnya dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa mengesahkan bahawa tiada tapak nuklear yang terjejas.
Kesatuan Eropah menggesa semua pihak untuk menahan diri sepenuhnya bagi mengelakkan daripada peningkatan tidak terkawal. Negara-negara lain, termasuk banyak negara jiran Iran, mengutuk serangan Israel dan beberapa negara lagi seperti Rusia, telah menggesa kedua-dua pihak untuk mengawal diri dan mengelak apa yang disebut Moscow sebagai ‘senario bencana.’
Iran menegaskan ia mempunyai ‘hak dan kewajipan’ untuk mempertahankan diri, manakala sekutunya dari Lubnan dan Hizbullah berkata ia sudah melancarkan roket yang menyasarkan lima kawasan kediaman di utara Israel. Tentera Israel berkata 80 peluru telah ditembak merentasi sempadan kelmarin. – AFP