Monday, May 20, 2024
28.6 C
Brunei

    -

    Istiadat pertunangan diraja sempurna dilaksanakan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Dayang Anisha Rosnah binti Adam, hari ini, secara rasmi mengikat pertunangan pada Majlis Istiadat Menghantar dan Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja yang berlangsung di Istana Nurul Iman.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja di Balai Persantapan, Istana Nurul Iman.

    Majlis bermula dengan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz menyabdakan kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan untuk mengadap dan menyembahkan kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik bahawa majlis istiadat telah siap sedia.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia didahului oleh Hulubalang Diraja yang membawa Pemuras dan Karga dengan Hulubalang Asgar yang membawa Kelasak dan Kampilan serta diiringi oleh empat orang pembawa Alat-alat Perhiasan Empat Duli Yang Teramat Mulia.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung dan diiringi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik pada Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja di Balai Persantapan, Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ke Balai Persantapan, Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja bagi DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Dayang Anisha Rosnah binti Adam yang berlangsung di Balai Persantapan, Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Majlis Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja dilaksanakan di hadapan YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit mewakili pihak pengantin diraja perempuan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Rombongan menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja tiba di Baitur Rahmah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Rombongan menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja berangkat ke Baitur Rahmah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja di Balai Singgahsana Indera Kenchana untuk diserahkan kepada keluarga pengantin diraja perempuan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Sebanyak 17 das tembakan dilepaskan sebagai menandakan Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja telah diterima. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Istiadat bermula dengan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan menjunjung anugeraha menyembahkan kepada YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa majlis istiadat telah siap sedia.

    Kemudian, Duli Yang Teramat Mulia menyabdakan supaya istiadat dimulakan.

    Majlis diikuti dengan Tanda Diraja yang terdiri daripada seorang kanak-kanak perempuan yang berpakaian bergelang Pengaluan, bergelang Geronchong, memakai Subang dan berbunga Serondoh yang dituntun oleh Pengarah Awang Murni dan diiringi oleh seorang muda-muda diikuti oleh Awang-Awang yang membawa Gangsa-Gangsa Bawa-Bawaan yang berisi sepangadak Pakaian, sepasang Gelang, sepasang Subang, dan sepasang Cincin dua belah jari.

    Pertunangan Diraja terdiri daripada seorang kanak-kanak perempuan yang berpakaian baju kurung memakai gelang Pengaluan, bergelang Geronchong, memakai Kanching, Puntu Azimat, memakai Jamang di kepalanya dan berpanding dituntun oleh Pengarah Awang Halidin dan diiringi oleh seorang kanak-kanak lelaki pemutus Tali Jintong yang berpakaian lengkap yang dituntun oleh Pengarah Haji Mohamad Fadzirol Azrisah dengan diiringi oleh seorang muda-muda dan diikuti oleh Awang-Awang yang membawa Gangsa yang berisi Surat Mahar atau Berian dan Gangsa-Gangsa Ganti-Gantian yang terdiri daripada sepangadak pakaian, sepasang gelang, sepasang subang, sepasang Cincin dua belah jari, Ceramai, Kelakati dan Pisau serta Dian 16 yang dibawa oleh 16 Awang-awang masuk ke dalam majlis dan duduk di tengah-tengah majlis.

    YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris menyabdakan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim untuk mengadap kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Duli Yang Teramat Mulia mengurniakan sabda kepada YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim untuk mengepalai rombongan berjumpa Awang Adam bin Abdullah untuk menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja daripada DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen untuk disampaikan kepada anaknya, Dayang Anisha Rosnah.

    YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad menjunjung anugeraha dan berangkat ke Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman.

    Duli Yang Teramat Mulia dijunjung ke Bilik Khas dengan diiringi oleh YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.

    Di Baitur Rahmah, Majlis Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja dilaksanakan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit yang mewakili pihak pengantin diraja perempuan.

    Rombongan Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja yang dikepalai oleh YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad berangkat tiba di Baitur Rahmah.

    Di kawasan berdekatan dengan pintu Baitur Rahmah, Tanda Diraja yang dituntun oleh Pengarah Awang Murni yang diiringi oleh seorang muda-muda diserahkan kepada Pengarah Awang Nor’ Ariffin yang diiringi oleh seorang muda-muda.

    Manakala Pertunangan Diraja yang dituntun oleh Pengarah Awang Halidin dan seorang kanak-kanak lelaki pemutus Tali Jintong yang dituntun oleh Pengarah Haji Mohamad Fadzirol Azrisah yang diiringi oleh seorang muda-muda akan diserahkan kepada Pengarah Awang Mohammad Zul-Azfar dan Pengarah Awang Mohamed Hazreen yang diiringi oleh seorang muda-muda dan sejurus itu diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 17 das sebagai menandakan Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja telah diterima.

    YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim dijunjung masuk ke dalam majlis diiringi oleh pembesar-pembesar negara yang dititahkan seorang demi seorang mengikut keutamaannya.

    Rombongan Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja kemudian masuk ke dalam majlis dan duduk di tengah-tengah majlis.

    Pada majlis itu, YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim menyembahkan kepada YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit, Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja berserta gangsa-gangsa bawa-bawaan.

    YAM Pengiran Sanggamara Diraja bersabda menjunjung kasih setinggi-tingginya atas kurnia hantaran Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja dan menyabdakan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar untuk membawa Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja ke Balai Singgahsana Indera Kenchana.

    Rombongan Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja yang dibawa oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar tiba di Balai Singgahsana Indera Kenchana dan dialu-alukan oleh Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Bini Datin Paduka Hajah Siti.

    Kemudian, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar mengadap dan seterusnya menyembahkan kepada YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit yang Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja telah diserahkan kepada keluarga pengantin diraja perempuan.

    Doa Selamat dibacakan oleh Yang Di-muliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa.

    YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim berangkat meninggalkan majlis diikuti oleh pembesar-pembesar negara yang dititahkan mengikut keutamaannya dan seterusnya diikuti oleh Awang-Awang yang membawa Gangsa-Gangsa yang telah disalin dan Dian 16 yang dibawa oleh Awang Awang.

    Rombongan berangkat balik ke Balai Persantapan, Istana Nurul Iman di mana YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz menyabdakan kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan mengadap dan menyembahkan kepada DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik bahawa rombongan telah berangkat balik dan dijunjung berangkat ke Balai
    Persantapan.

    YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad mengadap dan seterusnya menyembahkan kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia sabda yang diterima daripada YAM Pengiran Sanggamara Diraja.

    Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...