Saturday, May 4, 2024
25.1 C
Brunei

    -

    Jeruk bosou umbut pisang jadi tarikan

    KOTA KINABALU – Bosou umbut pisang ini sangat enak dan sesuai dijadikan sebagai pembuka selera, kata seorang pengunjung ruangan karnival jualan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) pada siri jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sabah Laily Zakaria dari Kuala Lumpur.

    Laily, 42, datang semula ke reruai usahawan bosou umbut pisang Velen Edith Galingan, bagi ‘memborong’ lebih banyak makanan tradisi suku kaum Kadazan Dusun Murut Rungus itu, untuk dibawa pulang ke Semenanjung selepas terpikat dengan kombinasi rasa yang menurutnya ‘ngam’ sebagai pembuka selera.

    Walaupun sebelum ini Laily sudah beberapa kali datang ke Sabah, namun ini adalah kali pertama beliau merasai pengalaman menikmati keenakan jeruk bosou umbut pisang.
    “Saya beli sebotol jeruk bosou umbut pisang untuk dicuba dan saya boleh habis satu pinggan nasi. Sebelum ini, saya tidak pernah makan jeruk seperti ini.

    Keistimewaannya adalah pada gabungan rasa antara masam dan pedas, secukup rasa.
    “Sangat sedap dan saya memang suka makanan pembuka selera sebab itu saya datang semula ke sini (ruangan reruai usahawan) untuk ‘memborong’ 10 botol bosou umbut pisang. Nak buat simpanan sendiri memandangkan ia tiada (dijual) di Semenanjung,” kata penjawat awam itu ketika ditemui Bernama.

    Laily berkata beliau juga tidak teragak-agak mempromosikan keenakan rasa jeruk bosou umbut pisang kepada rakan-rakan lain yang berkunjung ke siri jelajah tersebut sehingga ada antara mereka turut berminat untuk membeli produk makanan tradisi Sabah itu.

    Jeruk bosou umbut pisang dihasilkan menggunakan bahan utama seperti umbut pisang, nasi, lada putih atau merah, halia, lengkuas, bunga kantan dan garam. – Bernama

    Jeruk bosou umbut pisang antara lain dihasilkan menggunakan bahan utama seperti umbut pisang, nasi, lada putih atau merah, halia, lengkuas, bunga kantan dan garam.

    Sementara itu Velen Edith, 54, yang tersenyum lebar dan gembira kerana jeruk bosou umbut pisang yang dijual pada harga RM8 sebotol itu, mendapat sambutan menggalakkan daripada segenap Keluarga Malaysia termasuk dari Semenanjung.

    Usahawan berasal dari Kota Marudu itu juga, tidak menyangka produk makanan tradisi itu laris terjual sejak hari pertama siri jelajah AKM edisi Sabah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini selama tiga hari berakhir hari ini.

    “Saya hanya bawa dalam 300 botol sahaja dan pada hari pertama, bosou umbut pisang ini sudah terjual lebih 100 botol,” kata usahawan wanita yang mendapat bimbingan daripada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah itu.

    Walaupun mempunyai ramai pengedar di seluruh Sabah, namun Velen Edith berkata, jelajah AKM mampu menjadi platform yang dapat membantu mempromosi, sekali gus memperluaskan lagi potensi produk makanannya itu agar lebih dikenali di seluruh negara.

    Beliau berkata setakat ini, orang Sabah yang bekerja di Semenanjung termasuk di luar negara seperti Singapura, Australia serta Dubai, banyak membantunya memperkenalkan jeruk bosou umbut pisang kerana ada antara mereka yang membeli dan kemudian menjual produk makan tradisi itu kepada rakan-rakan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...