Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jin BTS diberi penghormatan bawa obor Sukan Olimpik Paris 2024

    ANGGOTA kumpulan BTS iaitu Jin mencipta sejarah tersendiri apabila diberi penghormatan membawa obor ketika acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 pada 27 Julai ini.

    Dispatch melaporkan Jin atau Kim Seok Jin, 32, bakal terbang ke Perancis dalam masa terdekat bagi upacara tersebut namun tarikh sebenar penyanyi itu ke negara berkenaan tidak dinyatakan.

    Jin bakal mengetuai larian membawa obor bersama 11,000 individu lain dalam kalangan atlet dari seluruh dunia, mangsa peperangan, angkasawan termasuk pekerja am.

    Obor yang mula dinyalakan di Greece sudah pun tiba di Perancis bulan lalu dan bakal menjelajah 400 lokasi sekitar 12,000 kilometer sebelum tiba di temasya pembukaan.

    Sementara itu, peminat Jin meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian penyanyi itu dan menganggap pemilihannya adalah luar biasa.

    Malah mereka menyifatkan Jin sebagai beruntung dapat melibatkan diri dalam acara sukan terbesar dunia walaupun baru sahaja menamatkan latihan ketenteraan pada 13 Jun lalu.

    “Karier Jin kembali rancak dengan permulaan yang bukan biasa-biasa! Sampai Sukan Olimpik dia pergi, terbaik Jin!,” antara komen peminat.

    Sukan Olimpik Paris 2024 bakal berlangsung bermula 27 Julai sehingga 11 Ogos depan membabitkan 15,000 atlet dari 206 negara.

    Korea Selatan bakal mempertaruhkan 142 atlet menerusi 21 acara dan bakal terbang ke Paris pada 9 Julai ini. – Agensi

    Warganet bangga dengan Jin BTS. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda