GEORGE TOWN, 17 JAN – Sebanyak 80,000 biji kelapa disediakan oleh seorang pemborong kelapa di Jalan Dato Keramat bagi memenuhi keperluan permintaan menjelang sambutan Thaipusam pada 25 Januari ini.
Pemilik Joez Coconut, M Joel Jayachandran, 38, berkata setakat ini sebanyak 50,000 biji kelapa sudah ditempah oleh pelanggan yang bukan saja datang dari pelbagai negeri tetapi juga dari luar negara termasuk Singapura dan London.
Katanya, semua bekalan kelapa mawar itu diperoleh terus dari ladang di Bagan Datuk, Perak dan menjualnya pada harga RM1.90 sebiji.
“Jika luar musim biasanya tempahan yang kita terima hanyalah 100,000 biji (sebulan) tetapi ketika Thaipusam atau hari raya memang permintaan akan meningkat dan tahun ini untuk Thaipusam sahaja kita bekalkan sebanyak 80,000 biji kelapa dan jumlahnya sama seperti tahun lepas.
“Jika bekalan tidak mencukupi, kita akan ambil dari ladang lain di Perak dan biasanya mereka (pembekal) akan naikkan harga 20 hingga 30 sen tetapi, saya tetap akan jual RM1.90 sen sebiji malah harga ini tidak pernah naik sejak beberapa tahun lepas,” katanya ketika ditemui Bernama di premisnya, hari ini. – Bernama