PARIS, 21 JAN – Satu kajian baharu diterbitkan kelmarin menekankan potensi manfaat ubat diabetes popular ke atas pelbagai masalah kesihatan, termasuk demensia dan penyakit kardiovaskular, walaupun pakar memberi amaran agar tidak menganggapnya sebagai ubat ajaib.
Kajian yang diterbitkan dalam Nature Medicine ini unik dari segi skopnya, menandakan satu pencapaian penting dalam kajian ubat penurunan berat badan generasi baharu seperti Ozempic, Wegovy dan Mounjaro, yang telah merevolusikan usaha melawan obesiti.
“Tiada siapa yang secara menyeluruh menyiasat keberkesanan dan risiko agonis reseptor GLP-1 merentasi semua hasil kesihatan,” kata pakar epidemiologi Ziyad Al-Aly semasa sidang media kelmarin.
Ubat GLP-1, yang mula dipasarkan sekitar satu dekad lalu, melawan obesiti dan keadaan berkaitan dengan meniru fungsi hormon yang merangsang pengeluaran insulin, memperlahankan penghadaman dan menyekat selera makan.
Ubat-ubatan itu secara meluas dianggap sebagai salah satu pencapaian perubatan terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan, dengan menjana pendapatan besar bagi syarikat farmaseutikal seperti Novo Nordisk (Ozempic/Wegovy) dan Eli Lilly (Mounjaro).
Beberapa kajian sebelum ini telah menunjukkan bahawa manfaat ubat-ubatan ini mungkin lebih daripada penurunan berat badan dan kawalan diabetes.
Kajian-kajian tersebut menunjukkan bahawa pesakit yang mengambil ubat GLP-1 menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam menghadapi pelbagai masalah kesihatan seperti demensia, penyakit kardiovaskular atau ketagihan alkohol.
Kajian besar yang dilakukan kelmarin mengesahkan penemuan kajian-kajian sebelumnya, sambil memberikan maklumat yang lebih spesifik mengenai kesan lebh baik ubat-ubatan ini. Para penyelidik menjalankan penyelidikan mereka di Amerika Syarikat, menggunakan data kesihatan daripada ratusan ribu veteran. – AFP