HELSINKI, 22 DIS – Kerajaan baharu Iceland, yang dipimpin oleh Perdana Menteri Kristrun Frostadottir dari Parti Perikatan Demokratik Sosial (SDA) secara rasmi memulakan tugas kelmarin, lapor Xinhua.
Kerajaan gabungan tiga parti ini turut merangkumi Parti Reformasi Liberal (LRP) dan Parti Rakyat (PP).
Menurut kenyataan media kerajaan, SDA dan LRP masing-masing memegang empat portfolio kementerian, manakala PP diberikan tiga portfolio.
Frostadottir, yang dilahirkan pada 1988 menjadi perdana menteri termuda di negara itu.
Beliau dipilih menganggotai Parlimen pada 2021 dan dilantik sebagai pemimpin SDA setahun kemudian.
Kabinet baharu itu mengadakan mesyuarat rasmi pertama kelmarin di kediaman Presiden Bessastadir, dengan kehadiran Presiden Halla Tomasdottir.
Dalam sidang media yang diadakan sebelumnya, Frostadottir menggariskan keutamaan Kabinet baharunya, termasuk menstabilkan ekonomi Iceland melalui pengurangan kadar faedah, memperkenalkan kawalan ketat terhadap kewangan awam dan mempromosikan penciptaan nilai tambah.
Pilihan raya Parlimen Iceland, yang diadakan pada 30 November lalu menyaksikan pengagihan 63 kerusi kepada enam parti. SDA muncul sebagai pemenang utama dengan memperoleh 15 kerusi; LRP memperoleh 11 kerusi, manakala PP 10 kerusi. – Bernama