Sunday, December 22, 2024
21.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan negeri mahu lebih banyak akademi bola sepak swasta diwujudkan di Perak

    PARIT, 5 NOV – Kewujudan lebih banyak akademi bola sepak milik persendirian atau swasta di peringkat akar umbi mampu menyumbang kepada penghasilan lebih ramai bakat muda yang berpotensi diketengahkan untuk mewakili Perak.

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata langkah alternatif itu turut membantu meringankan beban Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Perak FC yang menjadi entiti penting dalam program pembangunan bola sepak.

    “Kita tiada halangan, malah akan membantu sedikit sebanyak jika ada mana-mana pihak sama ada persendirian, badan bukan kerajaan (NGO) atau swasta yang mahu menubuhkan akademi bola sepak.

    “Bagi kita, matlamatnya adalah untuk mengenal pasti dan melahirkan bakat-bakat muda dalam arena bola sepak serta menyediakan pasukan yang lebih baik untuk negeri Perak di pelbagai peringkat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Pembangunan Bawah 11 Tahun Daerah Perak Tengah di Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar Perdana hari ini.

    Gambar Freepik

    Khairudin berkata penubuhan akademi itu juga secara asasnya memberi penumpuan terhadap aspek latihan dan disiplin, selain tunjuk ajar daripada jurulatih yang berkelayakan.

    “Ini tujuan sebenar akademi diasaskan, iaitu memberi penumpuan terhadap aspek yang saya sebutkan. Apabila asas ini telah mencukupi, maka tiada sebab untuk mereka tidak dapat bersaing ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

    Mengulas mengenai kejohanan, beliau berkata ia berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga esok dengan disertai 29 pasukan terdiri dalam kalangan murid sekolah rendah di daerah Perak Tengah.

    Beliau berkata kejohanan yang berlangsung untuk kali ketiga berturut-turut sejak 2022 itu merupakan medan dalam pencarian bakat baharu mewakili daerah Perak Tengah bagi Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah (MSS) Perak tahun depan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda