BANGKOK, 30 JULAI – Phuket akan mengenakan larangan masuk kepada pelancong domestik dari wilayah lain di negara ini bermula 3 hingga 16 Ogos, untuk membendung penularan COVID-19.
Namun, arahan terbaharu yang ditandatangani Gabenor Phuket, Narong Woonciew itu tidak melibatkan pelancong antarabangsa yang memasuki pulau berkenaan di bawah inisiatif ‘Phuket Sandbox.’
Pengarah Bahagian Berita Jabatan Penerangan Kementerian Luar Pensom Lertsithichai berkata, pelancong domestik dari wilayah lain, dilarang masuk sama ada melalui jalan udara, laut atau darat.
Katanya, untuk tujuan menghantar barangan keperluan, produk pertanian, bekalan perubatan serta pelajar, dibenarkan masuk ke pulau itu dengan syarat lengkap divaksin dan negatif ujian COVID-19.
Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) akan memantau rapat keadaan COVID-19 di Phuket, kata Pensom pada taklimat COVID-19 di sini hari ini.
“Kami berharap langkah-langkah ini dapat membantu mengekang penularan wabak di pulau ini,” katanya.
Sementara itu, Narong turut mengarahkan penutupan premis dan tempat yang dianggap berisiko termasuk pusat snuker, bar biliard atau kedai dan meja pool, semua sekolah seni mempertahankan diri dan sekolah tinju, pusat permainan, kolam renang juga akan ditutup bermula hari ini hingga 1 Ogos.
Awal minggu ini, beliau juga mengarahkan semua institusi pendidikan tempatan ditutup hingga 16 Ogos selain pusat beli-belah dan tempat sukan ditutup sehingga 2 Ogos. Arahan itu turut melarang perhimpunan awam melebihi 100 orang berkuat kuasa sejak Selasa.
Dalam usaha untuk menghidupkan kembali industri pelancongannya yang terjejas, Thailand melancarkan ‘Phuket Sandbox’ bermula 1 Julai lalu, membolehkan pelancong asing dari negara berisiko rendah dan sederhana memasuki pulau itu selepas disahkan negatif COVID-19 semasa ketibaan. – Bernama