Friday, January 17, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kursus Maktab Turus Sesi ke-15 bermula

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Majlis Pembukaan bagi Kursus Maktab Turus Sesi ke-15 telah diadakan hari ini di Auditorium Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB).

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan majlis tersebut ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Hazri bin Haji Kifle; ahli-ahli jawatankuasa eksekutif ABDB; wakil dari Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB); perwakilan dari kedutaan luar negeri di Negara Brunei Darussalam; atase-atase dan penasihat-penasihat pertahanan yang tidak menetap dan menetap di Negara Brunei Darussalam; ahli-ahli fakulti dari UBD dan pegawai-pegawai kanan ABDB.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Anfal, ayat 60 hingga 66 diketuai oleh wakil peserta kursus, Leftenan Komander Abdul Azim bin Haji Abdul Rahman, TLDB, diikuti dengan ucapan perasmian oleh tetamu kehormat dan diteruskan dengan upacara mengibarkan bendera.

    Upacara pengibaran bendera tersebut melambangkan semangat kerjasama antara negara-negara yang mengambil bahagian dalam kursus ini dan menekankan kepentingan untuk membina persahabatan yang kukuh sepanjang perjalanan pembelajaran peserta kursus.

    Seramai 37 orang pegawai menghadiri kursus tahun ini termasuk 16 orang pegawai dari ABDB, seorang pegawai dari Kementerian Pertahanan, seorang pegawai dari PPDB dan 19 lagi pegawai tentera antarabangsa dari 15 buah negara; Australia, Kerajaan Bahrain, Republik Rakyat Bangladesh, Republik Rakyat Cina, Republik Indonesia, Kerajaan Hasyimiyah Jordan, Malaysia, Kesultanan Oman, Republik Islam Pakistan, Republik Filipina, Kerajaan Arab Saudi, Republik Singapura, Kerajaan Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

    Kursus Maktab Turus Sesi 15/2025 direka khusus untuk meningkatkan pengetahuan profesional dan akademik peserta kursus berkaitan dengan persekitaran strategik kontemporari dan kesannya terhadap pertahanan dan keselamatan. Kursus ini merupakan program yang berlangsung selama 46 minggu yang dikendalikan dengan kerjasama UBD sebagai penyelia akademik selama tujuh tahun sehingga kini.

    Di penghujung kursus ini, peserta-peserta kursus yang berjaya akan dianugerahkan Passed Staff Course (Joint) [psc (j)] daripada pihak AP ABDB dan memperoleh Ijazah dalam Master in Defence and Security Studies daripada pihak UBD.

    Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi hadir selaku tetamu kehormat. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    Pengibaran bendera negara-negara peserta oleh wakil tentera. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda