Monday, May 20, 2024
25.6 C
Brunei

    -

    Laksana ibadat pekerjaan sebaiknya

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Sebagai seorang Muslim hendaklah menjadikan seluruh kehidupan sebagai ibadat, ibadat bukan setakat mendirikan sembahyang, puasa, haji dan seumpamanya.

    “Akan tetapi apa yang dikerjakan setiap hari seperti bekerja mencari rezeki, dikira ibadat dengan syarat niat bekerja hendaklah kerana Allah semata-mata,” tekan khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk Jadikan Pekerjaan Kita Satu Ibadat.

    Inti sari khutbah bersempena Hari Perkhidmatan Awam ke-30 itu turut menyentuh mengenai amanah dan tanggungjawab dalam mengalas sesuatu pekerjaan.

    Khatib seterusnya menjelaskan pekerjaan dan cara bekerja juga mestilah menepati syarak atau selari dan tidak bercanggah dengan hukum di mana matlamat bekerja juga adalah untuk kebaikan seperti mencari nafkah bagi diri sendiri, keluarga dan seumpamanya.

    Malah, bekerja adalah satu kewajipan yang mendapat ganjaran pahala dan keredaan Allah selain menerima upah atau gaji daripada majikan.

    Gambar MP
    Gambar MP

    Perkara yang paling penting yang perlu ada pada setiap pekerja dalam menjalankan tugas adalah sifat amanah.

    Sifat itu perlu diterapkan dan dipraktikkan oleh individu yang bekerja bagi memastikan setiap pekerjaan yang dilakukan menepati kualiti yang diharapkan.

    “Inilah ciri dan sifat pekerja Muslim yang sebenar, sebaliknya mengabaikan amanah dalam bekerja adalah satu pengkhianatan yang dilarang keras oleh Allah.

    “Jika kita menjaga amanah yang diberikan, ia akan mendorong individu melakukan sesuatu kerja dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh, selain mencurahkan seluruh masa, tenaga dan fikirannya untuk memperoleh hasil kerja yang lebih berkualiti,” ujar khatib.

    Mereka yang melaksanakan segala tuntutan kerja dengan rasa tanggungjawab dan dedikasi akan dihormati dan dikenali sebagai Muslim yang baik.

    Dalam menjaga amanah, tambah khatib, beberapa perkara perlu dititikberatkan seperti menjaga waktu bekerja, ikhlas dalam memberikan pandangan, tidak terjebak dengan penyelewengan seperti rasuah, pecah amanah dan juga penyalahgunaan kuasa.

    “Kita hendaklah melakukan pekerjaan dengan sebaik-baik mungkin, menggunakan seluruh keupayaan diri, potensi dan kepakaran yang dimiliki dalam melaksanakan tugas yang diberikan tanpa sebarang pengabaian dan penyelewengan,” tekannya.

    Beliau turut mengongsi, di mana sejarah juga membuktikan sifat amanah yang ada pada Nabi Muhammad SAW sehingga digelar sebagai ‘Al-Amin’, telah menjadikan Baginda seorang pekerja yang berjaya ketika Baginda berkhidmat bersama Abu Talib dan juga Saidatina Khadijah RA.

    Oleh kerana bekerja itu adalah ibadat, sudah pasti iblis dan syaitan tidak menyukai orang yang benar-benar jujur dan amanah dalam menjalankan tugas, mereka akan memusuhi dan akan sentiasa menghasut untuk mengkhianati amanah.

    Khatib seterusnya mengongsi di mana Rasulullah SAW ada mengajar doa dan zikir apabila hendak keluar rumah untuk bekerja mencari rezeki.

    Sebagai umat Islam, jelas khatib, hendaklah meyakini amanah dalam pekerjaan adalah satu tuntutan dan akan dihisab di hadapan Allah di akhirat kelak.

    Seorang pekerja wajiblah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalankan tanggungjawab dan amanah melaksanakan sesuatu tugas dengan memikirkan hasil dari pendapatan itulah yang akan menjadi sumber utama rezeki seterusnya membawa punca kebahagiaan bagi diri, keluarga dan juga masyarakat.

    “Marilah kita sama-sama muhasabah dan istiqamah dengan berniat ketika melangkah keluar dari rumah, semua kerja yang dilaksanakan adalah kerana Allah dan dengan setiap pekerjaan yang dilakukan dikira sebagai ibadat dan rezeki diterima penuh dengan keberkatan,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...