Saturday, May 4, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Legenda NBA bertarung dengan barah otak

    WASHINGTON, 17 OKT – ‘Hall of Fame’ NBA, Dikembe Mutombo, salah seorang pemain pertahanan terbaik dalam sejarah NBA, sedang menjalani rawatan untuk barah otak, umum liga itu baru-baru ini.

    Mutombo, 56, yang berasal dari Republik Demokratik Congo, merupakan duta antarabangsa NBA bertahun-tahun lamanya.

    Dia bermain untuk beberapa kumpulan sepanjang kariernya, termasuklah Denver Nuggets, Philadelphia 76ers, Atlanta Hawks dan juga New Jersey Nets.

    “Dikembe Mutombo ketika ini sedang menjalani rawatan untuk barah otak,” kata liga itu di dalam satu kenyataan bagi pihak keluarga Mutombo.

    “Dia menerima penjagaan yang terbaik daripada kerjasama sepasukan pakar di Atlanta dan dalam keadaan yang bersemangat semasa dia memulakan rawatan,” menurut kenyataan itu.

    Gambar fail foto yang diambil pada 29 Mei 2001 menunjukkan reaksi Dikembe Mutombo dari pasukan Philadelphia 76ers semasa menentang Milwaukee Bucks. – AFP

    “Mutombo dan keluarganya meminta privasi buat masa ini supaya mereka boleh tumpukan sepenuh perhatian ke atas kesihatannya. Mereka berterima kasih ke atas doa dan ucapan selamat awda semua.”

    Pesuruhjaya NBA, Adam Silver memberikan kata-kata semangat, dengan berkata: “Ingatan dan doa kami bersama Mutombo, salah seorang manusia terhebat dunia.”

    Mutombo, All-Star NBA lapan kali, adalah orang kedua dalam liga paling banyak menepis bola dengan rekod sebanyak 3,289 kali, di belakang Hakeem Olajuwon dari Nigeria. Dia merupakan pemain pertahanan terbaik NBA sebanyak empat kali.

    Mutombo dan Olajuwon merupakan orang pertama dari Afrika yang berjaya menempa nama di dalam NBA, membuka pintu buat yang lain-lain seperti Luol Dieng dan Joel Embiid.
    Gaya khasnya ialah goyangan jari, yang bermaksud pihak lawan tidak boleh pandang enteng akan dirinya.

    Mutombo bermain untuk Nuggets pada tahun 1991, sebelum dia berpindah ke Atlanta dan Philadelphia. Dia bermain di dalam peringkat akhir NBA sebanyak dua kali.

    Dia menamatkan karier profesionalnya pada tahun 2009 selepas 18 musim.

    Kemudian, dia menubuhkan Dikembe Mutombo Foundation pada 1997 untuk meningkatkan kualiti taraf hidup masyarakat di negara asalnya.

    Sebelum menyertai NBA, Mutombo merupakan pemain yang dipandang tinggi di Universiti Georgetown, yang hanya menyertai pasukan bola keranjang semasa tahun kedua, dan menamatkan pelajaran dengan ijazah linguistik. Anaknya, Ryan sekarang bermain di Georgetown.

    “Tolong doakan Dikembe dan keluarga Mutombo. Hoya Nation ada bersama awda, Dikembe,” kata jurulatih Georgetown dan Hall of Fame NBA, Patrick Ewing. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...