NOTTINGHAM, 15 JAN – Arne Slot menegaskan Liverpool layak menewaskan Nottingham Forest selepas pendahulu Liga Perdana yang ‘cemerlang’ itu memerlukan gol penyamaan Diogo Jota untuk mencapai keputusan seri 1-1 menentang pencabar gelaran mereka.
Pasukan Slot digemparkan dengan gol pembukaan Chris Wood pada minit kelapan di City Ground yang riuh rendah.
Tetapi Jota yang dimasukkan dari simpanan telah menanduk masuk sepakan sudut pemain gantian Kostas Tsimikas hanya 20 saat selepas Slot memasukkan pasangan itu pada minit ke-66.
Walaupun Liverpool telah bergelut untuk mengatasi kehebatan dan pertahanan Forest yang mantap sehingga Jota menyamakan kedudukan, Liverpool mengepung gawang Forest pada minit-minit akhir.
“Penjaga gol mereka terpaksa melakukan beberapa penyelamatan yang luar biasa dan pertahanan mereka juga membuat beberapa halangan yang baik. Mereka menyekat hampir setiap percubaan,” kata Slot.
“Saya tidak boleh minta lebih banyak lagi. Separuh masa kedua adalah cemerlang. Tidak banyak pasukan yang boleh mencipta begitu banyak peluang menentang lawan dengan begitu kuat bertahan. Malangnya kami tidak dapat memperoleh satu detik pun.
“Untuk memenangi perlawanan pada separuh kedua musim adalah lebih sukar daripada yang pertama. Pasukan lawan telah membiasakan diri bermain dengan awda dan mereka bertambah baik, malah mereka boleh membawa masuk pemain baharu atau pengurus baharu, dan mereka berjuang untuk setiap mata,” tambah Slot.
Forest kini naik ke tempat kedua, kedudukan yang pernah mereka capai kali terakhir pada 1988 dan Nuno menggesa mereka untuk terus berusaha.
“Sudah tentu kami berpuas hati. Lebih-lebih lagi kerana cara pemain bekerja. Kami (akan) teruskan. Kami mahu menikmati masa ini dan kami bersaing dengan baik,”ujar Nuno Espirito Santo, jurulatih Forest. – AFP