Monday, May 20, 2024
25.6 C
Brunei

    -

    Majlis tadarus semarak Ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Dalam sama-sama menyemarakkan bulan Ramadan yang mulia ini, pelbagai pihak di negara ini terus mengadakan majlis-majlis bertadarus.

    Malam tadi, Majlis Bertadarus Malam-malam Bulan Ramadan bagi Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi diteruskan lagi bagi malam ketujuh di Surau, Istana Nurul Iman, di sini.

    Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menghadiri majlis bertadarus di Surau Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Rombongan KKBS serta jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Bertadarus Al-Quran di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara peserta perempuan yang hadir pada majlis tadarus di Surau Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Majlis Tadarus Al-Quran, Bersungkai dan Sembahyang Sunat Tarawih serta Witir bersama para Mualaf di Daerah Tutong turut menyaksikan penyerahan buku panduan. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    Majlis Tadarus Al-Quran, Bersungkai dan Sembahyang Sunat Tarawih serta Witir bersama para Mualaf di Daerah Tutong turut menyaksikan penyerahan buku panduan. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Sementara itu, petang tadi, rombongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Bertadarus Al-Quran di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis/Madang.

    Hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) di KKBS, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; dan Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Haji Zakaria bin Haji Serudin, pengarah-pengarah bahagian dan jabatan, pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya serta para jemaah Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit.

    Program ini dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Belia dan Sukan dan Jabatan Muzium-Muzium dengan kerja-sama Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit.

    Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan wakaf sebelum diakhiri dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah.

    Manakala itu, Majlis Tadarus bagi Para Pegawai dan Kakitangan Wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bersempena Bulan Ramadan bagi Tahun 1445H/2024M telah diadakan di Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal, Daerah Tutong, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Norazimah binti Haji Ramlee.

    Aktiviti tahunan KHEU berkenaan adalah sebagai salah satu syiar untuk memakmurkan masjid-masjid di negara ini sekali gus dapat meningkatkan lagi ibadat dalam merebut ganjaran yang besar di bulan Ramadan melalui amalan tadarus Al-Quran.

    Di samping itu, ia juga diharap akan dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan wanita kementerian berkenaan.

    Turut mengambil kesempatan meraih pahala berlipat ganda pada bulan yang suci ini adalah Kelas Bimbingan Mualaf Batang Mitus / Kebia, Daerah Tutong yang menganjurkan Majlis Tadarus Al-Quran, Bersungkai dan Sembahyang Sunat Tarawih serta Witir bersama para mualaf di Daerah Tutong, kelmarin.

    Majlis yang dikendalikan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) dan Unit Dakwah Daerah Tutong itu melibatkan mualaf dalam sama-sama menyemarakkan bulan Ramadan.

    Hadir selaku ketua rombongan ialah Pemangku Penolong Pengarah PDI, Hajah Zunainah binti Haji Gunong.

    Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Pengkalan Mau, Bakiau dan Batang Mitus, Awang Suhili bin Alas dan wakil ahli Persatuan Saudara-saudara Baharu Daerah Tutong (PESATU), Hajah Nur lina binti Abdullah Luji.

    Majlis turut menyaksikan penyerahan buku Panduan Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir (Siri Bimbingan Mualaf) dan Ratib Al-Attas (Siri Bimbingan Mualaf) untuk kegunaan jemaah khususnya pelajar-pelajar Kelas Bimbingan Mualaf.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...